KUALA TERENGGANU 4 Dis – Kerajaan negeri akan memulangkan semula sejumlah wang bayaran yang pernah dibayar oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) pada tahun 2011.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Datuk Dr Azman Ibrahim berkata, wang tersebut akan dipulangkan segera secepat mungkin.
“Keputusan ini dicapai dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu yang diadakan semalam.
“Pada tahun 2011, FELDA ada bayar sejumlah bayaran dengan persetujuan sebelah pihak sahaja. Mereka yang tetapkan jumlah dan mereka bayar.
“Kerajaan Negeri tidak pernah bersetuju dengan jumlah bayaran tersebut. Sebab itu bayaran tersebut Kerajaan Negeri hanya letak dalam akaun amanah dan tidak direkodkan sebagai hasil negeri,” katanya dalam satu kenyataan.
ARTIKEL BERKAITAN: Ceroboh tanah: Terengganu serah Notis Seksyen 425 kepada FGV sebelum proses sitaan bermula
Baru-baru ini, Terengganu memulakan langkah penguatkuasaan undang-undang terhadap ladang Felda Global Ventures (FGV) dengan menyerahkan Notis Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (Akta 828) kepada pihak pengurusan syarikat berkenaan kerana menduduki tanah kerajaan negeri tanpa kebenaran sah.
Notis Seksyen 425 itu memberi tempoh kepada FGV untuk mengeluarkan semua aset boleh alih sebelum proses sitaan bermula.
Namun, selepas itu, FELDA dan FGV mengeluarkan kenyataan balas dengan memaklumkan pihaknya sedang membuat semakan dan akan bertindak mengikut undang-undang.
ARTIKEL BERKAITAN : Isu tanah Terengganu: FELDA, FGV sedang buat semakan untuk selesaikan mengikut undang-undang
Mengulas lanjut, Dr Azman berkata, wang tersebut dalam proses untuk dipulangkan semula kepada FELDA sebagai sebahagian dari proses perundangan.
“Bagaimana Kerajaan Negeri boleh terima premium tanah dengan kadar hanya berjumlah RM1200/ekar. Mengikut Peraturan Tanah Terengganu, kadar premium tanah bagi ladang komersial ialah 50% dari penilaian semasa harga tanah.
“Kerajaan Negeri juga tidak pernah keluarkan Jadual 5A kepada Felda kerana ada syarat yang tidak dipatuhi Felda dan mereka tidak mahu berunding.
“Pembayaran premium tanah mesti berdasarkan jumlah yang dinyatakan dalam Jadual 5A. Apa yang berlaku ialah, mereka bayar ikut kadar mereka dan memaksa malah mengugut Kerajaan Negeri supaya mengeluarkan geran hak milik,” katanya.
Semalam, media melaporkan FGV mula mengeluarkan aset serta kelengkapan dari pejabat ladang di Setiu dan pekerjanya dipindahkan ke beberapa negeri lain buat sementara waktu. - DagangNews.com








