KUALA LUMPUR 11 Jun – Bermaz Auto Berhad (BAuto) mencatatkan hasil lebih tinggi sebanyak RM544.7 juta bagi suku keempat tahun kewangan berakhir 30 April 2026, meningkat 3% berbanding RM528.6 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.
Peningkatan hasil itu disumbangkan oleh jualan lebih tinggi operasi domestik Mazda, khususnya model Mazda3 yang menerima sambutan menggalakkan dalam kalangan pengguna.
Bagaimanapun, prestasi tersebut sebahagiannya diimbangi oleh penurunan jualan operasi Kia domestik berikutan penamatan perjanjian pengedaran pada November 2025.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata bagi keseluruhan tahun kewangan berakhir 30 April 2026, kumpulan mencatatkan hasil sebanyak RM2.28 bilion, susut 13.2% berbanding RM2.62 bilion pada tahun sebelumnya.
“Penurunan itu disebabkan oleh kelemahan jualan pada separuh pertama tahun kewangan, kesan kitaran hayat model Mazda dan Kia yang hampir tamat serta penamatan operasi Kia di Malaysia.
“Bagaimanapun, kesan penurunan tersebut sebahagiannya diimbangi oleh peningkatan sumbangan operasi kenderaan elektrik (EV) Xpeng dalam pasaran tempatan,” katanya.
Model Xpeng G6 dan X9 antara penyumbang utama kepada peningkatan jualan pada separuh kedua tahun kewangan.
Dari segi perbelanjaan, kumpulan merekodkan kos berkaitan Skim Saham Pekerja (ESS) sebanyak RM0.7 juta pada suku keempat 2026, berbanding RM1.2 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.
Bagi keseluruhan tahun kewangan, perbelanjaan ESS direkodkan sebanyak RM3.9 juta, lebih rendah berbanding RM6.6 juta pada tahun kewangan sebelumnya.
Lembaga pengarah turut mengisytiharkan dividen interim keempat sebanyak 1.75 sen sesaham dan dividen khas sebanyak 1.75 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 30 April 2026.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan dividen bagi tahun kewangan tersebut sebanyak 7.25 sen sesaham, berbanding 16.75 sen sesaham pada tahun kewangan sebelumnya.
Tarikh kelayakan dividen telah ditetapkan pada 22 Julai 2026, manakala tarikh pembayaran pada 5 Ogos 2026.
Syarikat itu berkata prospek industri automotif kekal mencabar berikutan tekanan inflasi, ketidaktentuan geopolitik serta persaingan sengit daripada kemasukan jenama kenderaan China ke pasaran tempatan.
“Kumpulan kekal berhati-hati namun optimis untuk mengekalkan kedudukan kompetitif serta prestasi kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 April 2027,” katanya. - DagangNews.com








