KUALA LUMPUR 11 Jun — Titijaya Land Berhad dan PNSB Construction Sdn Bhd (PCSB) membangunkan projek kediaman mampu milik Rumah Idaman yang akan menyediakan sebanyak 1,202 unit di Selangor.
Kumpulan tersebut berkata, ia dilaksanakan anak syarikatnya, NPO Builders Sdn Bhd (NPO) yang memeterai perjanjian konsortium dengan subsidiari Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) itu.
Kerjasama strategik dikenali 'Consortium of PNSB Construction-NPO' itu menggabungkan kepakaran pembangunan hartanah NPO dengan keupayaan PCSB selaku rakan penyampai projek di seluruh Selangor.
"Projek ini akan dilaksanakan di atas sebahagian tanah seluas 5.3 hektar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) yang mencecah RN343 juta," jelas Titijaya Land dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Skim itu menawarkan dua kategori kediaman iaitu 240 unit berharga RM250,000 seunit dengan keluasan 1,000 kaki persegi serta 962 unit berharga RM295,000 seunit dengan keluasan 1,080 kaki persegi.
PCSB bertanggungjawab memudah cara aspek perancangan strategik dan urusan kelulusan pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri bagi memastikan pembangunan mematuhi dasar perumahan mampu milik.
Sementara itu, NPO Builders pula kata Titjaya Land, menerajui pelaksanaan projek termasuk aspek pengurusan pembinaan, penyelarasan tenaga kerja, sumber teknikal dan jentera siap mengikut jadual.
Ketua Pegawai Eksekutif PNSB, Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim berkata, kerjasama itu mencerminkan komitmen berterusan dalam menyediakan kediaman bermutu dan mampu milik kepada rakyat.
"Gabungan kepakaran antara kedua-dua pihak diyakini mampu dalam usaha kerajaan negeri untuk dapat mempercepatkan pelaksanaan projek tanpa menjejaskan standard kualiti pembinaan," tambah beliau.
Pengarah Urusan Kumpulan Titijaya Land, Datuk Lim Poh Yit berkata, kerjasama itu selari aspirasi syarikat menyumbang pembangunan komuniti melalui jualan rumah berkualiti pada harga mampu milik.
Menurutnya, pengalaman luas NPO Builders dalam pengurusan projek dijangka membantu memperkukuh akses pemilikan rumah dalam kalangan rakyat Selangor menerusi pembangunan Rumah Idaman. - DagangNews.com








