KUALA LUMPUR 11 Jun - Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan membentangkan laporan siasatannya berhubung Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), termasuk aspek penswastaan syarikat itu serta isu operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada persidangan Dewan Rakyat yang bermula 22 Jun ini.
Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, jawatankuasa berkenaan kini sedang memuktamadkan laporan tersebut selepas mengadakan 19 prosiding serta lawatan tapak ke KLIA Terminal 1 hari ini.
“Kami akan membentangkan laporan mengenai perkara ini semasa persidangan Dewan Rakyat,” katanya kepada pemberita selepas lawatan tersebut.
Siasatan PAC merangkumi pengurusan lapangan terbang awam di bawah Kementerian Kewangan, Kementerian Pengangkutan dan MAHB dengan tumpuan kepada prestasi operasi KLIA, kemajuan pelaksanaan inisiatif transformasi serta kelewatan projek infrastruktur kritikal.
Antara perkara yang diberi perhatian ialah kelewatan perkhidmatan aerotrain, projek naik taraf sistem pengendalian bagasi serta beberapa gangguan perkhidmatan yang berlaku di lapangan terbang utama negara itu sejak kebelakangan ini.
Mas Ermieyati berkata, PAC memandang serius siri gangguan operasi yang berlaku kerana ia memberi kesan kepada kualiti penyampaian perkhidmatan selain menjejaskan imej Malaysia di mata pelancong dan pelabur asing.
Menurut beliau, lawatan tapak tersebut bertujuan mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai keadaan operasi semasa di KLIA serta langkah penambahbaikan dan pembetulan yang sedang dilaksanakan oleh pihak MAHB.
Siasatan itu turut menyentuh isu penswastaan MAHB yang sebelum ini mencetuskan perdebatan pelbagai pihak, khususnya melibatkan kemasukan Abu Dhabi Investment Authority (ADIA) dan Global Infrastructure Partners (GIP) sebagai pemegang saham.
Pada Februari 2025, MAHB telah dijadikan syarikat persendirian menerusi pengambilalihan oleh konsortium yang terdiri daripada Khazanah Nasional Bhd melalui UEM Group Bhd, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), ADIA dan GIP.
Dalam melengkapkan siasatan, PAC turut memanggil semula beberapa saksi termasuk bekas pengarah bebas MAHB bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai beberapa perkara yang dibangkitkan sepanjang prosiding berlangsung. - DagangNews.com








