PGB mulakan pembangunan AutoPark, hab automotif baharu di Iskandar Puteri | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PGB mulakan pembangunan AutoPark, hab automotif baharu di Iskandar Puteri

AutoPark akan menempatkan dua kilang baharu yang dibangunkan oleh syarikat itu untuk GSP di bawah perjanjian sewaan jangka panjang melalui anak syarikat milik penuh, PGB Landmark
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 11 Jun – Paragon Globe Berhad (PGB) mengorak langkah ke fasa pembangunan baharu menerusi projek PGB-GSP AutoPark di Iskandar Puteri, Johor yang memperkukuh kedudukan syarikat dalam ekosistem industri berteknologi tinggi.

 

Projek itu dibangunkan sebagai hab industri automotif bersepadu yang menyokong aktiviti pembuatan bernilai tinggi serta rantaian bekalan rentas sempadan Malaysia–Singapura.

 

Majlis pecah tanah projek berkenaan menandakan bermulanya kerja fizikal pembangunan hasil kerjasama strategik antara PGB dan GSP Automotive Malaysia Sdn Bhd, anak syarikat GSP Automotive Group yang tersenarai di Shanghai, China.

 

Majlis berkenaan disempurnakan oleh Penasihat Ekonomi dan Pelaburan Negeri Johor, Datuk Seri Utama Ir Hasni Mohammad bersama wakil Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) negeri Johor.

 

Menurut PGB, AutoPark akan menempatkan dua kilang baharu yang dibangunkan oleh syarikat itu untuk GSP di bawah perjanjian sewaan jangka panjang melalui anak syarikat milik penuh, PGB Landmark Sdn. Bhd.

 

Kedua-dua kilang tersebut dibina di atas tanah pajakan di Iskandar Puteri dan dijadualkan siap pada suku keempat tahun 2027.

 

Apabila siap kelak, fasiliti berkenaan akan menawarkan keluasan binaan kira-kira 427,847 kaki persegi, menjadikannya antara projek industri berskala besar di kawasan tersebut.

 

PGB memaklumkan reka bentuk pembangunan turut menekankan aspek kelestarian dengan sasaran pensijilan GreenRE, selaras dengan piawaian alam sekitar antarabangsa.

 

“Lokasi AutoPark yang terletak dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) memberi kelebihan dari segi akses pengangkutan yang sangat sesuai untuk operasi logistik dan pembuatan yang bergantung kepada pergerakan rantaian bekalan rentas sempadan.

 

“Projek ini adalah sebahagian daripada transformasi syarikat daripada pemaju hartanah konvensional kepada penyedia ekosistem industri bersepadu yang menyasarkan pelaburan berkualiti tinggi,” katanya.

 

Kumpulan itu berkata pembangunan ini selari dengan agenda Maju Johor 2030 serta aspirasi negeri untuk muncul sebagai hab pembuatan termaju serantau.

 

“PGB akan terus memberi fokus terhadap pelaksanaan projek mengikut jadual sambil mengekalkan disiplin pengurusan modal serta strategi pertumbuhan jangka panjang di Johor,” katanya. - DagangNews.com