Subsidi bahan api melonjak RM40 bilion bakal melenyapkan manfaat dividen PETRONAS, kata BIMB Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Subsidi bahan api melonjak RM40 bilion bakal melenyapkan manfaat dividen PETRONAS, kata BIMB Securities

(Gambar/ TMR)
Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 28 Julai - Peningkatan ketara subsidi bahan api dijangka menghakis manfaat daripada dividen lebih tinggi yang diterima kerajaan daripada Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS), sekali gus menyebabkan defisit fiskal Malaysia melepasi sasaran rasmi tahun ini, menurut BIMB Securities.

 

Firma penyelidikan itu mengunjurkan subsidi bahan api sahaja berpotensi mencecah RM40 bilion, hampir dua kali ganda daripada andaian RM21.6 bilion yang digunakan dalam Belanjawan 2026.

 

Menurut BIMB Securities, walaupun kenaikan harga minyak mentah dijangka meningkatkan pembayaran dividen PETRONAS kepada sekitar RM33.5 bilion, jumlah itu hanya mampu menampung sebahagian daripada peningkatan kos subsidi.

 

 

 

 

 

Sehubungan itu, firma penyelidikan berkenaan menjangkakan defisit fiskal Malaysia bagi 2026 boleh meningkat kepada 3.8% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), lebih tinggi berbanding sasaran kerajaan sebanyak 3.5%.

 

"Berikutan ruang yang terhad untuk memperkenalkan cukai baharu atau menaikkan kadar cukai, mendapatkan dividen lebih tinggi daripada PETRONAS kekal sebagai pilihan paling praktikal bagi mengimbangi peningkatan subsidi bahan api," katanya dalam nota penyelidikan.

 

Harga Minyak Kekal Tinggi

BIMB Securities berkata, harga minyak mentah global kekal tinggi walaupun Amerika Syarikat (AS) dan Iran sedang mengadakan rundingan bagi menamatkan konflik yang berlarutan sejak beberapa bulan lalu.

 

Minyak mentah Brent yang menjadi penanda aras global mencatat purata harga AS$92.50 setong bagi enam bulan pertama 2026 dan didagangkan sekitar AS$87 setong pada Selasa.

 

Sebaliknya, Belanjawan 2026 disediakan berasaskan andaian harga purata Brent sebanyak AS$65 setong, dengan unjuran subsidi bahan api RM21.6 bilion dan sumbangan dividen PETRONAS sebanyak RM20 bilion kepada kerajaan.

 

 

 

 

 

 

BIMB Securities menjangkakan harga minyak  kekal tinggi sehingga penghujung tahun, disebabkan ketidaktentuan geopolitik yang berterusan serta permintaan global yang masih kukuh.

 

Menurutnya, permintaan tersebut didorong oleh aktiviti syarikat penapisan yang sedang membina semula inventori serta menambah stok selepas beberapa tahun berdepan keadaan bekalan yang ketat. - DagangNews.com