Swift Energy raih lima kontrak pembekalan bernilai RM17.03 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Swift Energy raih lima kontrak pembekalan bernilai RM17.03 juta

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 28 Julai - Swift Energy Technology Berhad (SET) menerusi anak-anak syarikatnya memperoleh beberapa kontrak pembekalan baharu dengan nilai gabungan kira-kira RM17.03 juta, sekali gus dijangka menyumbang secara positif kepada prestasi kewangan syarikat sehingga tahun kewangan berakhir 30 September 2028.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata kontrak-kontrak tersebut melibatkan pembekalan sistem elektrik, tenaga solar, transformer serta sistem bantuan navigasi bagi projek minyak dan gas di Malaysia serta Indonesia, selain sebuah projek pusat data di Malaysia.

 

Anak syarikatnya, Swift Energy Sdn. Bhd., memperoleh kontrak daripada PT Meindo Elang Indah untuk membekalkan sistem bantuan navigasi kalis letupan (Ex Navigation Aids), Ex DC UPS dan sistem AC/DC Switchrack bagi Projek Pembangunan Bukit Panjang milik PT Petronas Indonesia.

 

Syarikat itu turut menerima kontrak daripada Zhuhai Jutal Offshore Oil Services Limited bagi pembekalan sistem tenaga solar, papan agihan AC dan DC serta sistem bantuan navigasi untuk Projek Pembangunan PTTEP Zawtika Fasa 1F.

 

Selain itu, Cummins Sales and Service Sdn. Bhd. menganugerahkan kontrak kepada SET bagi membekalkan 17 unit Cressall Neutral Earthing Resistor 11kV untuk sebuah pusat data di Malaysia.

 

SET juga menerima kontrak daripada Malaysia Marine and Heavy Engineering Sdn. Bhd. (MHB) bagi pembekalan Sistem Bantuan Navigasi dan Lampu Halangan Intensiti Sederhana (MIOL) untuk platform PTTEP Sapih, Tiram, Wangsa dan Chenda MLDP.

 

Sementara itu, anak syarikat Swift Energy Oil & Gas Sdn. Bhd. memperoleh kontrak daripada Muhibbah Engineering (M) Bhd bagi membekalkan Cast Resin Transformer IP55 6.6/0.4kV untuk Platform Kepala Telaga Petronas Carigali SEPAT A, B dan C.

 

Suku Pertama 2027

Menurut syarikat, kebanyakan kontrak berkenaan dijadualkan disiapkan dan dihantar menjelang suku pertama 2027, manakala kontrak pembekalan transformer kepada Muhibbah Engineering akan dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun akan datang.

 

SET berkata kontrak-kontrak tersebut dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan 2026, 2027 dan 2028.

 

Bagaimanapun, syarikat menjelaskan kontrak tersebut tidak memberi sebarang kesan terhadap modal saham atau struktur pegangan sahamnya.

 

Dari segi risiko, SET berkata semua kontrak itu adalah tidak boleh diperbaharui dan hanya tertakluk kepada risiko operasi serta risiko perniagaan biasa.

 

Lembaga Pengarah turut berpandangan bahawa penerimaan kontrak-kontrak tersebut adalah demi kepentingan terbaik syarikat. - DagangNews.com