Bekas perunding unit amanah dipenjara 18 bulan, didenda RM2 juta tipu pelaburan sekuriti | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bekas perunding unit amanah dipenjara 18 bulan, didenda RM2 juta tipu pelaburan sekuriti

KUALA LUMPUR 28 Julai - Seorang bekas perunding unit amanah dijatuhi hukuman penjara 18 bulan dan didenda keseluruhan RM2 juta oleh dua Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan melakukan penipuan berkaitan pelaburan sekuriti membabitkan dua pelabur.

 

Amran Mohd Amin, 59, dikenakan hukuman itu selepas mengemukakan pengakuan bersalah menerusi proses rundingan pengakuan bersalah mengikut Seksyen 172C Kanun Tatacara Jenayah.

 

Bagi pertuduhan pertama, Hakim Azrul Darus menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan dan denda RM1 juta atau penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda.

 

Bagi pertuduhan kedua pula, Hakim Ilmami Ahmad turut menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan dan denda RM1 juta atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda.

 

Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman penjara itu berjalan serentak bermula dari tarikh Amran ditangkap pada 8 September 2025.

 

Mengikut pertuduhan, Amran didakwa melakukan penipuan terhadap dua lelaki berhubung pembelian sekuriti, iaitu unit dalam Kenanga Shariah Growth Opportunities Fund.

 

Beliau didakwa membuat representasi bahawa mangsa akan melabur dengan Kenanga Investors Berhad, sekali gus mendorong mereka membeli cek jurubank masing-masing bernilai RM130,000 dan RM10,000 bagi tujuan pelaburan.

 

Bagaimanapun, cek jurubank yang dibuat atas nama akaun Amran di Kenanga Investors Berhad itu kemudiannya digunakan untuk membeli unit amanah ke dalam akaun milik tertuduh sendiri.

 

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di Kenanga Investors Berhad, Menara Kenanga, 237 Jalan Tun Razak, antara Disember 2021 hingga 27 Jun 2022.

 

Amran didakwa mengikut Seksyen 179(b) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (Akta 671) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 182 akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun serta denda tidak kurang daripada RM1 juta, jika sabit kesalahan.

 

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mageswary Karroppiah bersama pegawai pendakwa Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Adibah Saiful Bahri dan Sharifah Noor Effah, manakala Amran diwakili peguam Nor Azri Mohd Arif. - BERNAMA