KUALA LUMPUR 28 Julai – Selepas hampir dua tahun tiada liputan mana-mana firma penyelidikan, Malayan Flour Mills Berhad kembali meraih perhatian menerusi analisis Hong Leong Investment Bank (HLIB).
Firma tersebut memulakan liputan dengan saranan 'beli' ke atas sahamnya, dipacu prospek pertumbuhan pendapatan semakin kukuh, kedudukan kewangan yang sihat serta pulangan dividen dijangka menarik.
Ujarnya, penilaian semasa saham masih belum mencerminkan sepenuhnya peningkatan prestasi kewangan syarikat itu, sekali gus membuka ruang kepada penarafan semula dalam tempoh yang akan datang.
"Kami menetapkan harga sasaran (TP) Malayan Flour iaitu 93 sen sesaham, dengan potensi kenaikan 56% daripada paras dagangan semasa, selain dividen mampan kira-kira 6.7%," kata HLIB dalam notanya.
Menurutnya, walaupun harga saham sudah pulih daripada paras terendah, prestasinya masih hampir sama dengan kedudukan pada awal 2026, menjadikan penilaian semasa dilihat tetap menarik kepada pelabur.
Pada Februari 2026, kumpulan turut memperkenalkan dasar dividen rasmi dengan komitmen mengagihkan sekurang-kurangnya 30% daripada keuntungan bersih tahunan selepas kembali mencatat keuntungan.

HLIB berkata, saham Malayan Flour kini diniagakan pada nisbah harga kepada pendapatan (P/E) kurang lima kali unjuran hasil 2026, jauh lebih rendah berbanding purata syarikat setara sekitar 16 kali.
"Dari sudut operasi, syarikat memiliki kapasiti penapisan melebihi 10,000 tan gandum sehari di Asia Tenggara dan merancang meningkatkan lagi kapasiti pengeluaran di Vietnam sebanyak 25%," tambahnya.
Selain itu, ia mengendalikan perniagaan dagangan bijirin menerusi usaha sama (JV) yang dimiliki 51% bersama Toyota Tsusho Corporation, dan juga mengeluarkan makanan ternakan bagi industri akuakultur.
Segmen ayam pula jelas HLIB, dilaksanakan melalui JV 51% dengan Tyson Foods yang kini memproses lebih 200,000 ekor ayam sehari, dengan Malayan Flour merancang meningkatkan kapasiti sebanyak 40%.
Ujarnya, model operasi bersepadu itu membolehkan syarikat menguasai rantaian nilai makanan dari peringkat bahan mentah hingga produk siap, sekali gus meningkatkan tahap kecekapan perolehan.
"Justeru, kami mengunjurkan kumpulan berkenaan mencatat keuntungan bersih RM158.6 juta pada tahun kewangan semasa sebelum meningkat kepada RM172 juta pada tahun berikut," katanya. - DagangNews.com








