KUALA LUMPUR 28 Julai – Eastern & Oriental Berhad (E&O) mencatatkan peningkatan keuntungan bersih kira-kira 31 peratus yang mencecah sebanyak RM221.2 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026.
Prestasi pecah rekod ini disokong kejayaan pelancaran projek baharu, jualan yang kukuh, serta penyiapan beberapa pembangunan hartanah utama seperti Conlay, The Peak, The Meg, serta Senna dan Fera.
Menurut makluman kumpulan tersebut kepada Bursa Malaysia, ia mencatatkan hasil tertinggi sebanyak RM867.6 juta, iaitu peningkatan kira-kira 17.1% daripada hanya sebanyak RM741.1 juta pada FY25.
"Segmen hartanah menyumbang pendapatan RM753.9 juta, susulan pengiktirafan hasil yang lebih tinggi daripada projek sedia ada serta pelancaran baharu seperti AVÉA, dan Laman Embun," tambah E&O.
Pendapatan segmen hospitaliti pula meningkat kepada RM108.6 juta, dipacu oleh kadar penginapan yang lebih tinggi di E&O Residences, serta peningkatan kadar bilik purata Hotel E&O di Pulau Pinang.

Sementara itu ujarnya, keuntungan sebelum cukai (PBT) kumpulan melonjak 35.5% kepada RM293.5 juta, namun sedikit terkesan oleh kerugian pertukaran mata wang asing (forex) sebanyak RM51.7 juta.
Berdasarkan kepada perkembangan itu, Lembaga Pengarah bersetuju meluluskan dividen interim sebanyak satu sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026, yang sudah dibayar pada 8 April 2026.
"Melangkah ke hadapan, E&O sedang menumpukan kepada fasa pertumbuhan seterusnya di Pulau Andaman di Pulau Pinang menerusi perancangan induk pelbagai pembangunan hartanah komersial baharu," jelasnya.
Kumpulan itu turut kekal optimis secara berhati-hati dalam mengemudi landskap ekonomi dan geopolitik yang sentiasa berubah, disokong oleh pengurusan kewangan secara berdisiplin. - DagangNews.com








