KUALA LUMPUR 28 Julai – United Asiapac Energy Berhad melancarkan prospektus tawaran awam permulaan (IPO) menjelang penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 19 Ogos 2026.
Syarikat penyedia rumusan industri huluan minyak dan gas (O&G) itu menyasarkan kutipan hasil kasar sebanyak RM48.73 juta menerusi penerbitan 139.22 juta saham baharu dengan harga 35 sen sesaham.
Tawaran itu sekali gus memberikan nilai permodalan pasaran RM192.5 juta selepas penyenaraian, ketika industri berkenaan terus menyaksikan peningkatan aktiviti penyelenggaraan telaga matang.
"Sebahagian besar dana IPO iaitu 47.74% digunakan untuk pembelian kelengkapan intervensi telaga, manakala 11.29% bagi pemerolehan ibu pejabat baharu," kata United AsiaPac Energy dalam kenyataan.
Selain itu, 10.83% bagi pengembangan tenaga kerja, 5.83% untuk pembayaran balik pinjaman bank dan 4.93% bagi pengambilan jurutera baharu untuk menyokong rumusan intervensi telaga lebih canggih.
Bakinya pula ujar kumpulan berkenaan, akan diperuntukkan sebagai modal kerja serta perbelanjaan penyenaraian. Tempoh permohonan IPO tersebut sudah dibuka mulai hari ini hingga 5 Ogos 2026.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan United Asiapac Energy, Ahmad Fadzuli Ali berkata, penyenaraian ini menjadi pencapaian penting mengukuh kedudukan syarikat sebagai penyedia rumusan intervensi telaga.
"Kelebihan syarikat ini terletak pada pemilikan sendiri peralatan khusus serta pangkalan operasi strategik di Kemaman dan Labuan membolehkan mobilisasi aset dan pekerja secara lebih pantas," kata beliau.
Sejak 2021, kumpulan itu berjaya menyiapkan lebih 200 projek untuk syarikat O&G tempatan serta antarabangsa, dan membuktikan keupayaannya membina hubungan jangka panjang dengan pelanggan.
Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 2026, United Asiapac Energy merekodkan keuntungan kasar RM21.9 juta, sekali gus mengatasi keseluruhan keuntungan kasar tahun kewangan 2025 iaitu RM14.5 juta.
Ahmad Fadzuli berkata, permintaan terhadap perkhidmatan syarikat kekal berdaya tahan walaupun dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik kerana aktiviti dibuat tanpa mengira turun naik harga minyak.
"Kami yakin penyenaraian ini memperkukuh keupayaan operasi dan membolehkan pertumbuhan jangka panjang dalam pasaran perkhidmatan intervensi telaga O&G di Malaysia," katanya. - DagangNews.com








