Peningkatan adunan biodiesel mampu jimatkan penggunaan 386.7 juta liter setahun | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Peningkatan adunan biodiesel mampu jimatkan penggunaan 386.7 juta liter setahun

KUALA LUMPUR 28 Julai – Peningkatan kadar adunan biodiesel daripada B10 kepada B12 atau B15 di Semenanjung Malaysia dan Sabah dianggarkan dapat mengurangkan penggunaan diesel petroleum sebanyak 334,139 tan setahun, bersamaan kira-kira 386.73 juta liter setahun.

 

Menurut Kementerian Perladangan dan Komoditi, berdasarkan Analisis Kos-Faedah (CBA) yang dilaksanakan oleh kementerian, langkah itu bukan sahaja mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil, malah dijangka dapat memanjangkan tempoh bekalan diesel negara sehingga 20 hari.

 

“Ini membuktikan Program Biodiesel Negara berupaya memperkukuh sekuriti tenaga negara dan meningkatkan daya tahan Malaysia terhadap risiko gangguan bekalan serta ketidaktentuan harga pasaran tenaga global,” katanya.

 

KPK menjawab soalan pertanyaan Senator Norhasmimi Abdul Ghani mengenai keberkesanan pelaksanaan penggunaan biodiesel di negara ini dalam usaha mengurangkan kebergantungan terhadap import bahan api fosil serta membantu mengurangkan kos penggunaan diesel dalam kalangan pengguna domestik sedia ada.

 

Menurut kementerian, sejak Dasar Biobahan Api Negara diperkenalkan pada 21 Mac 2006, Program Biodiesel Negara telah menjadi antara instrumen strategik kerajaan dalam memperkukuh keselamatan tenaga negara di samping menyokong pembangunan dan kestabilan industri sawit.

 

Kementerian berkata, keberkesanan pelaksanaan dasar tersebut dapat dilihat menerusi pengurangan penggunaan diesel petroleum hasil penggantian sebahagian kandungan diesel dengan biodiesel sawit iaitu Palm Methyl Ester (PME).

 

Ketidaktentuan Geopolitik

Menurut kementerian lagi, langkah itu turut memberi manfaat ketika dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik dan krisis tenaga global yang menjejaskan rantaian bekalan serta harga bahan api.

 

"Sebagai contoh, ketika dunia berdepan dengan ketidaktentuan geopolitik dan krisis tenaga global yang menjejaskan rantaian bekalan serta harga bahan api, Malaysia telah mengambil langkah proaktif dengan meningkatkan kadar adunan biodiesel untuk sektor pengangkutan seluruh negara.

 

"Langkah ini bertujuan mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil, memperkukuh keselamatan tenaga negara serta memanjangkan jangka hayat bekalan diesel sedia ada," kata kementerian.

 

Kementerian berkata, pelaksanaan Program Biodiesel Negara juga terus memainkan peranan penting dalam mengukuhkan daya tahan negara terhadap ketidaktentuan pasaran tenaga global.

 

Selain itu, penggunaan biodiesel sawit menerusi program tersebut membantu mengoptimumkan penggunaan sumber tempatan bagi mengurangkan pergantungan kepada diesel petroleum.

 

Pada masa sama, langkah meningkatkan kadar adunan biodiesel dilihat selari dengan usaha kerajaan memperkukuh sekuriti tenaga negara di samping menyokong industri sawit sebagai antara sektor strategik negara – BERNAMA