KUALA LUMPUR 11 Jun — Willowglen MSC Berhad menyemak semula cadangan pelupusan ekuiti anak syarikatnya, Willowglen MSC Sdn Bhd (WMSB), susulan terdapat beberapa dokumen tambahan dimeterai.
Situasi itu menyaksikan skop transaksi dinaikkan kepada penjualan keseluruhan 100% pegangan yang bernilai RM40 juta berbanding cadangan asal hanya melibatkan 25% kepentingan pada nilai RM10 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata semakan tersebut melibatkan Elixir I, Elixir II, PME dan beberapa pihak berkaitan bagi meminda terma transaksi dibuat pada 1 April 2026.
"Antara perubahan utama dipersetujui ialah penamatan perjanjian opsyen sedia ada serta pembatalan cadangan penyediaan bantuan kewangan kepada pembeli," maklum Willowglen kepada Bursa Malaysia.
Perkembangan itu berikutan Elixir II bersetuju untuk membayar sepenuhnya pertimbangan pembelian di bawah perjanjian jual beli (SPA) tanpa memerlukan sebarang bantuan kewangan daripada syarikat.
Ujarnya, susulan daripada proses semakan tersebut, harga pelupusan WMSB kemudian ditetapkan kepada sebanyak RM40 juta bagi keseluruhan 100% pegangan ekuiti kumpulan dalam anak syarikat berkenaan.

Daripada jumlah itu kata Willowglen, sejumlah RM25 juta akan dibayar pada tarikh penyempurnaan SPA, manakala selebihnya RM15 juta pula dijelaskan setahun selepas penyempurnaan transaksi.
"Pembayaran berkenaan turut boleh dilaksanakan dalam tempoh 90 hari selepas akaun teraudit WMSB dimuktamadkan bagi tahun kewangan 2026, atau yang mana satu didapati sebagai lebih awal," katanya.
Elixir I dan PME jelas kumpulan berkenaan, turut memberi jaminan untuk memastikan yang segala pembayaran untuk baki pertimbangan tersebut dapat dilaksanakan oleh Elixir II dengan sempurna.
Selain agenda pelupusan WMSB, Willooglen mencadangkan beberapa langkah korporat lain yang turut melibatkan rancangan pelupusan WSPL serta cadangan pertukaran nama rasmi syarikat berkenaan.
Kumpulan tersebut berkata, butiran lanjut mengenai pindaan dan perubahan kepada terma transaksi akan diperincikan kemudian dalam dokumen tambahan yang dimeterai antara pihak-pihak terlibat.
Langkah itu dilihat menyederhanakan struktur transaksi asal selain mengukuhkan aliran tunai syarikat menerusi penerimaan hasil pelupusan lebih tinggi tanpa keperluan pembiayaan. - DagangNews.com








