KUALA LUMPUR 11 Jun - Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil Kementerian Pertahanan bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung pembatalan perolehan sistem peluru berpandu untuk projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) oleh kerajaan Norway.
Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, pihaknya telah menghantar surat kepada kementerian berkenaan untuk mendapatkan perkembangan terkini mengenai isu tersebut dan akan mengadakan sesi taklimat bersama Jawatankuasa Pilihan Khas Keselamatan Parlimen.
“Kami akan memanggil kementerian untuk hadir memberi penjelasan dan taklimat kepada PAC serta Jawatankuasa Pilihan Khas Keselamatan,” katanya pada sidang media selepas lawatan kerja ke Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.
Beliau berkata, PAC sebelum ini telah menerima surat daripada Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali yang menjelaskan status terkini isu berkenaan.
Menurutnya, Lokman turut menghubunginya secara peribadi selepas kerajaan Norway membuat keputusan membatalkan lesen eksport sistem peluru berpandu tersebut bagi menerangkan situasi yang berlaku.
“Namun, perkara itu telah berlaku beberapa ketika dahulu dan saya difahamkan terdapat perkembangan baharu selepas itu,” katanya.
Mas Ermieyati berkata, PAC juga dijadual menerima taklimat khas mengenai projek LCS pada 23 Jun ini, iaitu hari kedua persidangan Dewan Rakyat yang akan datang.
Isu berkenaan tercetus selepas kerajaan Norway pada 15 Mei lalu mengesahkan pembatalan lesen eksport yang berkaitan dengan sistem Naval Strike Missile (NSM) susulan penguatkuasaan peraturan kawalan eksport yang lebih ketat terhadap teknologi pertahanan sensitif negara itu.
Susulan keputusan tersebut, Malaysia pada 19 Mei lalu mengemukakan notis tuntutan kepada sebuah syarikat pertahanan Norway berhubung pembatalan lesen eksport sistem peluru berpandu yang diperoleh untuk kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Tuntutan itu melibatkan kerugian melebihi RM1 bilion. - DagangNews.com








