KUALA LUMPUR 11 Jun — Eastern & Oriental Berhad (E&O) terus memperkukuh pembangunan Pulau Andaman di Pulau Pinang dengan melancarkan AVÉA, projek fasa terbaharu kediaman servis marina.
Kumpulan pemaju hartanah tersebut dalam kenyataan berkata, nilai pembangunan kasar (GDV) projek terbaharu itu mencecah RM1 bilion, susulan sambutan positif terhadap projek terdahulu di pulau buatan itu.
AVÉA mengandungi 1,080 unit apartmen servis pegangan bebas dibangunkan dalam dua menara, dengan setiap menara menawarkan 540 unit berkeluasan antara 678 kaki persegi (kps) hingga 1,076 kps.
"Projek ini merupakan kediaman kedua dibangunkan di kawasan marina selepas pelancaran Maris pada Disember 2024, serta memperkukuh penawaran gaya hidup berteraskan komuniti di Andaman," kata E&O.
Pelancaran Menara B dibuat selepas sesi pratonton Menara A pada awal tahun ini mencatat kadar pengambilan sebanyak 65%, mencerminkan permintaan terhadap konsep kediaman tepi laut ditawarkan.
Sementara itu, Pengarah Urusannya, Kok Tuck Cheong berkata, AVÉA merupakan sebahagian daripada visi jangka panjang syarikat untuk membangunkan Andaman sebagai pulau bandar terancang.
Ia menggabungkan elemen kediaman, pekerjaan, rekreasi, pendidikan dan marina dalam satu komuniti yang saling berhubung, malahan AVÉA mewakili pencapaian penting E&O dalam pembangunan Andaman.

"Sebagai projek kediaman yang kedua di kawasan marina, ia dijangka memperkukuhkan konsep kehidupan 'waterfront' menerusi kediaman yang direka secara praktikal," jelas beliau menerusi kenyataan itu.
Tambahnya lagi, ia menawarkan kemudahan gaya hidup dan ruang komuniti yang membawa penduduk lebih dekat dengan laut serta pengalaman kehidupan pulau, selain turut dilengkapi 'promenade' tepi laut.
Kawasan itu ujar Tuck Cheong, menempatkan 10 lot komersial, kafe dan ruang komuniti menawarkan pelbagai pengalaman peruncitan, makanan dan gaya hidup kepada penduduk serta pengunjungnya.
Selain itu ujar beliau, setiap unit AVÉA akan ditawarkan E&O dalam keadaan berperabot yang lengkap bagi membolehkan pembeli berkenaan terus menduduki kediaman tersebut sebaik sahaja diserahkan.
"Sebagai sebahagian komitmen kelestarian, AVÉA memiliki pensijilan sementara GreenRE Platinum yang mengiktiraf aspek kecekapan tenaga, prestasi alam sekitar dan kesejahteraan penghuni," katanya.
Projek itu akan terus melengkapkan ekosistem lengkap di Andaman menerusi pembangunan masa depan melibatkan komponen runcit, komersial, marina dan ruang awam yang dirancang di kawasan berkenaan.
Pulau Andaman merupakan projek pembangunan pulau buatan utama E&O di Pulau Pinang yang dirancang sebagai destinasi 'waterfront' bersepadu dan mampan untuk jangka panjang. - DagangNews.com








