KPJ Healthcare lancar perkhidmatan pemindahan buah pinggang pertama di Hospital Pakar Tawakkal | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KPJ Healthcare lancar perkhidmatan pemindahan buah pinggang pertama di Hospital Pakar Tawakkal

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 11 Jun – KPJ Healthcare Berhad terus memperkukuh kedudukan dalam sektor penjagaan kesihatan apabila memperkenalkan perkhidmatan pemindahan buah pinggang pertama dalam rangkaian hospital kumpulan itu, membuktikan perkembangan penting dalam bidang kepakaran perubatan di Malaysia.

 

Perkhidmatan baharu itu diperkenalkan di Hospital Pakar Tawakkal (TSH) Kuala Lumpur sebagai usaha memperluaskan akses kepada rawatan khusus bagi pesakit buah pinggang tahap kronik.

 

KPJ Healthcare berkata pelancaran ini merupakan sebahagian daripada pengukuhan KPJ Health System (KPJHS), iaitu rangka kerja sistem kesihatan bersepadu yang menggabungkan perkhidmatan klinikal, pendidikan, penyelidikan serta inovasi bagi meningkatkan kualiti penjagaan pesakit.

 

Sebelum pelancaran rasmi, hospital tersebut telah berjaya melaksanakan satu prosedur pemindahan buah pinggang awal tahun ini melibatkan penderma hidup yang membuktikan kesiapsiagaan fasiliti dalam mengendalikan rawatan kompleks berkenaan.

 

Prosedur itu dijalankan oleh Pakar Perunding Urologi, Dr Norman Dublin dan Profesor Dr Azad Hassan Abdul Razack, bersama Pakar Perunding Nefrologi dan Perubatan Dalaman, Dr Muhammad Iqbal Abdul Hafidz.

 

t

 

Mereka turut dibantu pasukan pelbagai disiplin lain termasuk pakar bius, pakar radiologi, pakar rawatan rapi, jururawat, serta tenaga kesihatan bersekutu.

 

Menurut KPJ, prosedur pemindahan itu adalah rawatan penting bagi pesakit dengan kegagalan buah pinggang tahap akhir kerana ia berpotensi meningkatkan kualiti hidup serta mengurangkan kebergantungan kepada rawatan dialisis jangka panjang.

 

Perkhidmatan ini disokong oleh penjagaan bersepadu yang merangkumi pelbagai disiplin termasuk nefrologi, pembedahan transplant, anestesiologi, radiologi, unit rawatan rapi (ICU), farmasi, rehabilitasi, dietetik, makmal serta koordinasi transplant bagi memastikan penjagaan menyeluruh kepada penderma dan penerima.

 

t
Chin Keat Chyuan

 

Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Chin Keat Chyuan berkata pelancaran perkhidmatan ini mencerminkan komitmen kumpulan dalam memperluaskan akses kepada rawatan berteknologi tinggi serta memperkukuh kemampuan rawatan kompleks dalam rangkaian hospital KPJ.

 

Beliau berkata pemindahan buah pinggang memerlukan tadbir urus klinikal yang kukuh, kepakaran khusus serta pemantauan jangka panjang, dan semua elemen itu kini tersedia dalam sistem kesihatan bersepadu KPJ.

 

Sementara itu, Ketua Pengarah Perubatan KPJ Healthcare, Profesor Datuk Dr Hanafiah Harunarashid berkata bagi pesakit yang sesuai, pemindahan buah pinggang boleh menawarkan kualiti hidup lebih baik berbanding rawatan dialisis jangka panjang.

 

Sementara itu, Pengarah Perubatan Hospital Pakar Tawakkal, Dr Nurhashim Haron berkata pelancaran perkhidmatan ini juga mengimbau sejarah awal hospital tersebut yang pernah melaksanakan prosedur pemindahan buah pinggang pada era 1980-an.

 

Beliau berkata hospital itu mempunyai kaitan sejarah penting dengan pemindahan buah pinggang pertama di Malaysia pada tahun 1975 yang dilakukan oleh Allahyarham Datuk Dr Hussein Awang, pengasas bersama hospital tersebut.

 

t

 

Perkhidmatan ini mencerminkan evolusi berterusan KPJ Health System yang menggabungkan kepakaran klinikal, pendidikan, penyelidikan dan inovasi bagi menyokong pembangunan penjagaan kesihatan yang lebih maju.

 

Ketika ini, KPJ Healthcare mengendalikan 30 hospital di Malaysia serta tiga pusat rawatan ambulatori yang secara keseluruhan memberi perkhidmatan kepada kira-kira 3.3 juta pesakit setahun.

 

Kumpulan itu turut mempunyai 1,491 pakar perunding dan 19 hospital yang diakreditasi oleh Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH) serta empat hospital yang menerima akreditasi Suruhanjaya Bersama Antarabangsa (JCI).

 

Selain itu, KPJ turut mengendalikan Klinik Waqaf An-Nur (KWAN), pusat dialisis serta klinik bergerak di seluruh negara, di samping menawarkan lebih 40 program akademik melalui KPJ Healthcare University (KPJU).

 

KPJ juga merupakan institusi penjagaan kesihatan swasta pertama di Malaysia yang menubuhkan Academic Health System, yang mengintegrasikan amalan klinikal, pendidikan serta penyelidikan dan inovasi bagi memperkukuh kualiti perkhidmatan kesihatan. - DagangNews.com