YNH Property pinda perjanjian jual tanah RM170 juta di KL kepada Sunway Living Space buat kali kelima | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

YNH Property pinda perjanjian jual tanah RM170 juta di KL kepada Sunway Living Space buat kali kelima

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 11 Jun – YNH Property Bhd menerusi anak syarikat milik penuhnya, Kar Sin Berhad membuat satu lagi perubahan kepada perjanjian jual beli melibatkan cadangan pelupusan sebidang tanah pegangan bebas di Kuala Lumpur dengan nilai keseluruhan RM170 juta kepada Sunway Living Space Sdn Bhd.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata perjanjian tambahan kelima itu telah dimeterai pada 11 Jun 2026 bagi mengubah beberapa terma dan syarat perjanjian asal yang dimeterai sejak 12 Mei 2023.

 

Perjanjian asal tersebut sebelum ini telah beberapa kali dipinda melalui perjanjian tambahan pada November 2023, Mei 2024, Mei 2025 dan November 2025 sebelum pindaan terbaharu ini dilakukan.

 

YNH berkata semua pihak berkaitan termasuk pemilik berdaftar Imbuhan Sempurna Sdn Bhd, pemilik benefisial pertama Great Wall Park Sdn Bhd serta pembeli Sunway Living Space Sdn Bhd bersetuju terhadap perubahan terma dalam perjanjian tersebut.

 

Antara perubahan utama yang dipersetujui ialah lanjutan tempoh syarat-syarat terdahulu selama tiga bulan tambahan bermula 12 Jun 2026 sehingga 12 September 2026.

 

Lanjutan tersebut memberi ruang tambahan kepada pihak pembeli untuk memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan sebelum transaksi dapat dimuktamadkan sepenuhnya.

 

Selepas semua syarat dipenuhi dalam tempoh lanjutan itu, urus niaga akan dianggap selesai pada harga RM170 juta dan hak milik tanah akan dipindahkan serta didaftarkan atas nama pembeli.

 

Selain itu, peruntukan sedia ada berkaitan pengiraan serta kaedah bayaran tambahan kepada penjual turut dibatalkan dan digantikan dengan mekanisme baharu seperti yang dinyatakan dalam jadual perjanjian tambahan kelima tersebut.

 

Perubahan ini dilihat sebagai usaha penstrukturan semula terma komersial bagi memastikan kesesuaian pelaksanaan transaksi berkenaan dalam keadaan semasa.

 

YNH masih mengekalkan hak, atas budi bicara syarikat untuk memohon kelulusan pihak berkuasa berkaitan bagi meningkatkan nisbah plot pembangunan tanah tersebut kepada melebihi lima yang berpotensi membolehkan pembangunan yang lebih intensif sekiranya diluluskan.

 

Hak tersebut boleh dilaksanakan dalam tempoh satu tahun selepas tarikh “unconditional date” dan tertakluk kepada kos serta tanggungjawab syarikat.

 

YNH memaklumkan bahawa selain daripada liabiliti dan kesan kewangan yang telah diumumkan sebelum ini, tiada perubahan material baharu yang dijangka timbul hasil daripada pindaan perjanjian tambahan kelima ini.

 

Cadangan pelupusan ini dilihat sebagai sebahagian daripada strategi penstrukturan aset YNH Property bagi mengoptimumkan nilai pegangan hartanahnya di kawasan strategik ibu negara. - DagangNews.com