KUALA LUMPUR 11 Jun — Pemegang saham UEM Sunrise Berhad memberi mandat baharu kepada Datuk Hisham Hamdan apabila meluluskan usul pertama bagi pemilihan semulanya sebagai pengarah syarikat.
Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, beliau yang juga Pengerusi Bukan Bebas Bukan Eksekutif kumpulan itu dipilih semula dengan sokongan hampir sebulat suara apabila memperoleh 99.9971% undi.
Seramai 881 pemegang saham mewakili 4,034,486,802 saham menyokong Hisham, 58, yang dilantik kembali menganggotai Lembaga Pengarah setelah bersara mengikut Perkara 93 Perlembagaan Syarikat.
"Pengundian diadakan ketika Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) UEM Sunrise ke-18 di Kuala Lumpur pada 11 Jun 2026 melibatkan lapan resolusi yang dikemukakan selaras notis pada 30 April 2026," katanya.
Hisham yang dilantik sebagai Pengerusi UEM Sunrise pada 1 Julai 2023 merupakan tokoh korporat berpengalaman luas dengan lebih 30 tahun dalam bidang pelaburan, kewangan korporat, dan strategi.
Beliau kini memegang jawatan Ketua Pegawai Pelaburan Khazanah Nasional Berhad dan pernah memainkan peranan penting dalam pembangunan pelbagai sektor termasuk automotif, dan pembangunan wilayah.

Selain itu, Hisham pernah menerajui beberapa organisasi penting serta ketika ini mempengerusikan UEM Group Berhad, Jelawang Capital Sdn Bhd dan Malaysia Venture Capital Management Berhad.
Dalam perkembangan sama, UEM Sunrise berkata, kesemua lapan usul yang dibentangkan sepanjang AGM tersebut diluluskan oleh majoriti pemegang saham syarikat menerusi proses pengundian diadakan.
Antaranya, sebahagian besar pemegang saham turut meluluskan pemilihan semula Chari TVT, Shaharul Farez Hassan, Eric Chan Kok Leong dan Grace Yap Mei Wan sebagai pengarah syarikat tersebut.
"Mesyuarat itu juga meluluskan pembayaran fi dan manfaat pengarah bagi tempoh sehingga AGM akan datang serta pelantikan semula Ernst & Young PLT sebagai juruaudit syarikat," kata kumpulan itu.
Penyata kewangan teraudit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 bersama laporan pengarah dan juruaudit turut dibentangkan dan diterima pemegang saham pada mesyuarat tersebut.
UEM Sunrise berkata keputusan pengundian telah disahkan oleh SKY Corporate Services Sdn. Bhd. yang dilantik sebagai pemeriksa bebas bagi AGM berkenaan. - DagangNews.com








