KUALA LUMPUR 11 Jun – Weststar Maxus Sdn Bhd dan Yinson GreenTech melalui anak syarikatnya, drivEV memeterai perjanjian strategik bagi perolehan 300 unit van komersial elektrik Maxus eDeliver 5 dalam usaha mempercepatkan penggunaan kenderaan elektrik (EV) dalam sektor logistik negara.
Perjanjian itu dimeterai sempena Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2026 yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).
Weststar Maxus adalah pengedar sah kenderaan Maxus di Malaysia manakala jenama Maxus dimiliki sepenuhnya oleh SAIC Motor Corp Ltd, pengeluar automotif berpangkalan di Shanghai, China.
drivEV pula ialah perniagaan e-mobiliti di bawah Yinson GreenTech yang menyediakan sewaan kenderaan elektrik, kemudahan pengecasan serta sistem digital untuk mengurus dan memantau kenderaan syarikat dengan lebih efisien.
Majlis menandatangani perjanjian itu disaksikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof bersama Presiden SAIC Maxus Automotive Co Ltd, Yang Haijing; Pengarah Urusan Kumpulan Weststar, Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Yinson Holdings Bhd, Lim Han Weng.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Weststar Maxus, Syed Muhammad Ammar berkata kerjasama tersebut mencerminkan komitmen kedua-dua pihak dalam menyokong peralihan sektor kenderaan komersial kepada teknologi yang lebih bersih dan mampan.
Menurut beliau, Maxus eDeliver 5 dibangunkan khusus untuk memenuhi keperluan masa depan industri logistik yang semakin menekankan kecekapan operasi serta kelestarian alam sekitar.
“Model ini direka bagi menyokong keperluan penghantaran moden, khususnya dalam segmen logistik bandar dan menyempurnakan penghantaran (last-mile delivery),” katanya.
Pengarah Urusan Pengecasan EV dan Pajakan Yinson GreenTech, Kelvin Soon pula berkata, kerjasama itu akan membantu syarikat untuk beralih kepada EV melalui perkhidmatan sewaan secara menyeluruh.
“Pendekatan bersepadu ini membolehkan syarikat logistik mengurangkan kos operasi jangka panjang dan pada masa sama mencapai sasaran kelestarian.
“Gabungan penyelesaian ini membantu industri logistik dan pengangkutan komersial melaksanakan operasi lebih cekap dan mesra alam,” katanya.
Maxus eDeliver 5 dilengkapi bateri berkapasiti 64 kilowatt-jam (kWh) dengan jarak pemanduan sehingga 335 kilometer berdasarkan piawaian Worldwide Harmonised Light Vehicles Test Procedure (WLTP).
Van elektrik itu turut mempunyai kapasiti muatan sehingga 1,200 kilogram, menjadikannya sesuai untuk kegunaan syarikat logistik, kurier dan perkhidmatan penghantaran. - DagangNews.com








