Desatera perkenal TapaOTW by Dapur Brahim’s, tawar set makanan lengkap pada harga RM10.50 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Desatera perkenal TapaOTW by Dapur Brahim’s, tawar set makanan lengkap pada harga RM10.50

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 11 Jun – Desatera Sdn Bhd menerusi jenama Dapur Brahim’s melancarkan TapaOTW, sebuah platform pesanan makanan baharu yang menawarkan set hidangan lengkap pada harga berpatutan bagi memenuhi keperluan pengguna yang mahukan makanan mudah, cepat dan menjimatkan.

 

Perkhidmatan itu mula diperkenalkan pada 11 Jun 2026 dengan lima pilihan menu pengenalan yang ditawarkan pada harga RM10.50 bagi setiap set.

 

Menurut syarikat, tempahan boleh dibuat secara dalam talian menerusi dengan perkhidmatan yang tersedia untuk penghantaran serta boleh diambil sendiri oleh pelanggan.

 

Bagi memastikan kelancaran operasi, tempahan yang dibuat sebelum pukul 11 pagi akan diproses untuk penghantaran atau pengambilan pada hari yang sama manakala tempahan selepas waktu tersebut akan diproses pada hari berikutnya.

 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Desatera Sdn Bhd, Datuk Paduka Feizal Nor Nurbi, TapaOTW by Dapur Brahim’s diperkenalkan bagi memenuhi permintaan pelanggan yang mahukan hidangan yang mudah ditempah, berpatutan dan sesuai dinikmati setiap hari.

 

Beliau berkata, inisiatif tersebut merupakan usaha syarikat untuk menyediakan pilihan makanan yang lebih mudah diakses oleh pengguna, selain menawarkan nilai yang baik menerusi lima menu pada harga pengenalan RM10.50 bagi setiap set.

 

“Kami berharap inisiatif ini dapat memberi lebih banyak pilihan kepada pelanggan yang mahukan hidangan yang cepat dan menyelerakan,” katanya.

 

t

 

Lima menu yang ditawarkan pada peringkat awal ialah Set Nasi Ayam, Set Nasi Nusantara, Set Gulai Daging Lemak Cili Padi, Set Ayam Kicap Pedas dan Set Nasi Minyak.

 

Set Nasi Ayam didatangkan bersama ayam madu yang digoreng keemasan serta dilengkapkan dengan sos istimewa dan pelengkap hidangan yang menyelerakan.

 

Bagi Set Nasi Nusantara pula, pelanggan disajikan nasi putih bersama ayam penyet yang rangup di luar dan lembut di dalam, selain tauhu, tempe dan sambal penyet.

 

Sementara itu, Set Gulai Daging Lemak Cili Padi menawarkan daging yang dimasak dalam kuah lemak cili padi yang kaya rasa dan dihidangkan bersama sayuran harian segar, manakala Set Ayam Kicap Pedas menampilkan ayam yang dimasak dengan sos kicap pedas yang pekat dan beraroma.

 

Set Nasi Minyak pula disajikan bersama ayam masak merah yang kaya rempah serta dilengkapkan dengan acar jelatah yang segar dan rangup.

 

Setiap set disediakan sebagai hidangan lengkap yang sesuai untuk makan tengah hari, makan malam atau bila-bila masa pelanggan memerlukan makanan yang cepat dan mengenyangkan, sejajar dengan usaha berterusan Desatera memperluaskan penawaran Dapur Brahim’s melalui saluran digital. - DagangNews.com