Peralihan kepada biodiesel B15 diyakini tepat tangani krisis bekalan bahan api global, kata CGSI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Peralihan kepada biodiesel B15 diyakini tepat tangani krisis bekalan bahan api global, kata CGSI

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Noraini Ahmad (kanan) ketika melakukan simbolik penggunaan minyak biodiesel B15 di Stesen Petronas Presint 16 pada 3 Jun 2026. - Foto BERNAMA
Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 11 Jun — Pelaksanaan biodiesel B15 yang bermula 1 Jun 2026 dilihat mampu membantu Malaysia mengurangkan kebergantungan terhadap diesel fosil, menurut CGS International (CGSI).

 

Ujarnya, peralihan daripada B10 kepada B15 merupakan langkah yang tepat pada masanya memandangkan Malaysia sendiri memiliki bekalan minyak sawit lebih daripada mencukupi untuk kegunaan domestik.


Ujar firma penyelidikan tersebut, langkah itu disokong kapasiti penapisan sedia ada serta keadaan pasaran yang masih lagi menyokong positif dari segi jurang harga antara minyak sawit dan gasoil.


"Kami percaya pelaksanaan B15 boleh dicapai kerana isyarat harga masih memihak kepada biodiesel, kapasiti penapisan mencukupi dan stok minyak sawit berada pada paras yang selesa," kata CGSI.


Bagaimanapun, ketika isu ketidaktentuan geopolitik global dan harga tenaga semakin meningkat, persoalan besar kini timbul sama ada negara mampu merealisasikan sasaran biodiesel lebih agresif.


Perkembangan fasa yang seterusnya kata firma tersebut, untuk Malaysia kemudian beralih pula kepada pelaksanaan campuran biodiesel sehingga B20 atau B50 dalam tempoh beberapa tahun akan datang.


CGSI menambah, perkara berkenaan menjadi tanda tanya kerana hala tuju peralihan kepada B20 atau B50 dalam tempoh dua hingga tiga tahun sebenarnya pernah diumumkan tetapi masih tidak menentu.


"Setakat ini kerajaan masih belum memperincikan garis masa pelaksanaan serta rangka kerja dasar komprehensif bagi menyokong peningkatan campuran biodiesel yang lebih tinggi," tambahnya lagi.


Firma itu berkata, antara risiko utama yang perlu diberi perhatian ialah kemungkinan harga gasoil kembali susut apabila gangguan bekalan global reda pada masa hadapan selepas konflik berakhir.

 

Artikel berkaitan: Pelaksanaan biodiesel B15 mulai 1 Jun 2026 tidak jejaskan bekalan minyak sawit tempatan - Noraini Ahmad

 


Keadaan tersebut kata CGSI, berpotensi meningkatkan beban subsidi kerajaan dan mewujudkan tekanan inflasi sekiranya harga minyak sawit adalah kekal lebih tinggi berbanding diesel konvensional.


Ia turut menegaskan cabaran lebih besar sebenarnya datang daripada pasaran eksport biodiesel, khususnya Kesatuan Eropah (EU) yang menyerap kira-kira 90% eksport biodiesel negara pada 2025.


"EU secara berperingkat mengurangkan penggunaan biodiesel berasaskan sawit susulan kebimbangan terhadap isu penebangan hutan dan menetapkan sasaran tiada lagi import menjelang 2030," katanya.


Situasi kali ini ujar CGSI, menjadikan kelestarian dan pensijilan produk sawit sebagai faktor kritikal bagi memastikan industri biodiesel Malaysia kekal relevan dalam pasaran antarabangsa.


Justeru, ia berpendapat Malaysia memerlukan strategi baharu serta berusaha mengimbangi tiga elemen utama dasar biodiesel iaitu keselamatan tenaga, komitmen kelestarian dan pertimbangan ekonomi.


Antara cadangan yang diketengahkan ialah menyalurkan sebahagian hasil pelaksanaan cukai karbon bagi menyokong industri biodiesel dan mengurangkan jurang harga antara minyak sawit serta gasoil.


"Hasil duti ini berpotensi mencecah RM12 bilion setahun berdasarkan anggaran antarabangsa, sekali gus mampu menampung sebahagian kos fiskal pelaksanaan mandat biodiesel lebih tinggi," kata CGSI.


Daya tarikan utama biodiesel bukan lagi terletak pada kelebihan kos, sebaliknya peranan dalam mengurangkan pelepasan karbon, serta menyokong agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).


Oleh itu, daya maju jangka panjang biodiesel Malaysia bergantung kepada sejauh mana ia dapat diintegrasikan secara berkesan dalam strategi penyahkarbonan dan pelan peralihan tenaga negara. - DagangNews.com