KUALA LUMPUR 11 Jun – Exsim Hospitality Bhd, CBH Engineering Holding Bhd antara lima syarikat bermodal kecil yang kekal menjadi pilihan TA Securities pada separuh kedua 2026 (2H2026) selepas kaunter-kaunter tersebut berjaya mengatasi prestasi pasaran secara keseluruhan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Tiga lagi syarikat ialah Southern Score Builders Bhd, PGF Capital Bhd dan SkyWorld Development Bhd yang telah mencatatkan purata kenaikan sebanyak 11.6%, mengatasi prestasi pasaran yang lebih lemah dalam persekitaran ketidaktentuan global.
Menurut TA Securities, peningkatan ketegangan geopolitik serta sentimen pelabur yang dipacu oleh perkembangan kecerdasan buatan (AI) telah meningkatkan turun naik pasaran saham, dengan FBM KLCI susut 2.3% pada Mei berbanding penurunan 1.0% bagi FBM Small Cap Index.
Bagaimanapun, firma itu berpandangan pelabur tidak seharusnya menumpukan pelaburan secara berlebihan kepada lima saham berkenaan, sebaliknya mengamalkan strategi kepelbagaian portfolio yang menggabungkan saham cip biru dan saham bermodal kecil.
“Pelabur perlu membina portfolio yang pelbagai bagi mengoptimumkan potensi pulangan sambil menguruskan risiko keseluruhan.
“Cadangan ini harus dilihat sebagai strategi pemilihan saham untuk menjana pulangan tambahan dan bukannya pendedahan tertumpu kepada lima saham berkenaan semata-mata,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
TA Securities berkata, prospek pasaran saham tempatan kekal disokong oleh unjuran pertumbuhan pendapatan korporat sebanyak 5.5% bagi 2027 serta sasaran FBM KLCI pada paras 1,760 mata menjelang akhir tahun.
Firma itu menetapkan harga sasaran (TP) sebanyak 56 sen bagi EXSIM Hospitality, 80 sen bagi CBH Engineering, 78 sen untuk Southern Score, RM2.90 bagi PGF Capital dan 68 sen untuk SkyWorld.
Prestasi dan Kelemahan
Dari segi prestasi, EXSIM Hospitality dan CBH Engineering muncul sebagai penyumbang utama kepada prestasi portfolio apabila masing-masing mencatatkan pertumbuhan pendapatan sekitar 100% tahun ke tahun.
Saham EXSIM Hospitality melonjak sehingga 63% dalam separuh pertama 2026, manakala CBH Engineering meningkat 43%.
Prestasi kukuh kedua-dua kaunter itu berjaya mengimbangi kelemahan tiga saham lain dalam senarai berkenaan.
Southern Score merekodkan penurunan harga saham sebanyak 12%, diikuti PGF Capital yang susut 19%, manakala SkyWorld merosot 17% dalam tempoh sama.
Menurut TA Securities, sentimen terhadap ketiga-tiga saham itu terjejas oleh peningkatan kos input termasuk plastik, bahan api dan bahan mentah lain yang memberi tekanan kepada margin keuntungan.
Dalam kalangan lima saham pilihan tersebut, SkyWorld mencatatkan prestasi pendapatan paling lemah apabila keuntungan syarikat merosot 74% tahun ke tahun kepada RM3.8 juta setakat ini.
Bagaimanapun, firma penyelidikan itu menjangkakan prestasi kewangan pemaju hartanah tersebut akan bertambah baik dengan lebih ketara mulai tahun kewangan 2027 berikutan pengiktirafan hasil daripada projek-projek pembangunan yang sedang berjalan.
TA Securities turut berpandangan faktor luaran seperti pergerakan mata wang dan konflik di Timur Tengah dijangka tidak memberi kesan material kepada prestasi lima syarikat berkenaan selagi asas operasi masing-masing kekal kukuh dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa. - DagangNews.com








