Futurefirst lancar Tarantula Trail, platform pembangunan bakat kepimpinan menggunakan AI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Futurefirst lancar Tarantula Trail, platform pembangunan bakat kepimpinan menggunakan AI

Pengasas bersama Dr Chanthiran Veerasamy (kiri) dan Shankar Nagalingam (kanan) bersama Ahli Akademik Tan Sri Dato' Seri Datuk Dr. Ir. Ahmad Tajuddin Ali, Pengerusi SIRIM Bhd dan Pro-Canselor Universiti Sains Malaysia, di majlis pembukaan Summit of Titans II
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 11 JunFuturefirst Solutions Sdn Bhd melancarkan Tarantula Trail, sebuah program pembangunan kepimpinan berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi bacaan gelombang otak (EEG) yang bertujuan membantu pemimpin organisasi menyesuaikan diri dengan perubahan pesat dalam era AI.

 

Program itu diperkenalkan sempena Sidang Kemuncak Titans II bertemakan “Decode AI. Reclaim the Future” yang menghimpunkan lebih 300 pengurusan tertinggi syarikat daripada pelbagai industri.

 

Tarantula Trail dibangunkan berasaskan rangka kerja NETRA yang memberi tumpuan kepada lima ciri utama kepimpinan masa depan iaitu neuroplastisiti (keupayaan menyesuaikan diri), neuroempati (keupayaan memahami emosi), teknosapien (celik teknologi), regeneratif (keupayaan bangkit semula) dan agentik (proaktif serta berinisiatif).

 

Pengasas bersama Futurefirst Solutions, Shankar Nagalingam berkata, pemimpin korporat perlu mula membiasakan diri dengan penggunaan AI dan mengintegrasikannya dalam tugasan harian bagi memastikan mereka kekal relevan dalam persekitaran perniagaan yang semakin dipacu teknologi.

 

Menurut beliau, ramai pemimpin menyedari kepentingan AI namun masih belum bersedia untuk menggunakannya secara aktif bagi meningkatkan kecekapan serta memperkukuh proses membuat keputusan.

 

“Pemimpin perlu mengambil langkah pertama untuk membiasakan diri dengan AI, memahami, mentafsir dan menggunakannya untuk manfaat mereka sendiri kerana kesedaran semata-mata tidak lagi mencukupi.

 

“Organisasi yang terus mengambil pendekatan tunggu dan lihat terhadap impak AI berisiko ketinggalan ketika teknologi itu semakin menjadi sebahagian penting dalam operasi dan strategi perniagaan,” katanya.

 

t
Pengasas bersama Dr Chanthiran Veerasamy membentangkan mengenai Tarantula Trail di Summit of Titans II.

 

Menurut Shankar, Tarantula Trail merupakan program pertama di dunia yang menggabungkan penilaian berasaskan teknologi dan pengalaman sinematik dalam persekitaran pembangunan kepimpinan menerusi penggunaan EEG, pengecaman wajah menggunakan AI dan analisis modulasi suara.

 

Katanya, program itu turut menawarkan pengalaman sinematik menerusi tayangan filem khas yang memaparkan pelbagai gaya kepimpinan bagi membantu peserta mengenal pasti kekuatan, kelemahan dan jurang pembangunan diri yang perlu ditangani.

 

“Teknologi ini membolehkan kami menghubungkan dan mentafsir keupayaan masa depan seseorang. Pada masa akan datang, ia boleh digunakan untuk tujuan pengambilan pekerja, kenaikan pangkat dan perancangan untuk penggantian kepimpinan yang lancar dalam organisasi,” katanya.

 

Beliau berkata, pendekatan tersebut membantu memahami cara seseorang individu berfikir, merasai dan membuat keputusan seterusnya memperkukuh keupayaan insan yang tidak mampu digantikan oleh mesin.

 

“Teknologi bacaan gelombang otak yang digunakan mempunyai tahap kebolehpercayaan yang melebihi alat pengesan pembohongan,” katanya.

 

t
Pengasas bersama Shankar Nagalingam berkongsi pandangan mengenai perubahan kemahiran, dunia pekerjaan, dan pemimpin masa depan di Summit of Titans II.

 

Sidang kemuncak Titans II dirasmikan oleh Ahli Akademik Tan Sri Datuk Seri Dr. Ir. Ahmad Tajuddin Ali manakala penerbitan Tarantula Trail dilancarkan oleh Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Green Packet, Datuk Wira Shahul Hameed Shaik Dawood, yang turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif PIKOM, Ong Kian Yew dan

 

Presiden Institut Pengurusan Sumber Manusia Malaysia (MIHRM), Simon Benjamin.

 

Acara itu turut menjadi platform pertemuan utama pemimpin perniagaan, teknologi dan modal insan negara ketika AI semakin berkembang daripada projek perintis kepada teras operasi perniagaan di Malaysia.

 

t

 

t
Moderator Sunderaj Nagalingam mengetuai panel dalam perbincangan mengenai masa depan kepimpinan AI di Summit of Titans II.

 

Sementara itu, pengasas bersama Futurefirst Solutions, Dr. Chanthiran Veerasamy berkata, elemen sinematik dalam program berkenaan memainkan peranan penting dalam mewujudkan pengalaman pembelajaran yang lebih mendalam berbanding pendekatan latihan konvensional.

 

Katanya, pengalaman tersebut digabungkan dengan aplikasi AI dan teknologi EEG bagi mengesahkan penemuan yang diperoleh sepanjang program, manakala keseluruhan pembangunan Tarantula Trail termasuk penerbitan kandungan sinematiknya dijangka siap menjelang akhir tahun ini.

 

Pada masa sama, penceramah utama dalam sidang kemuncak tersebut, Profesor Keith Carter berkata, sama ada AI menggantikan atau memperkasakan manusia bergantung sepenuhnya kepada niat dan hala tuju kepimpinan sesebuah organisasi.

 

“Ketua Pegawai Eksekutif yang berpandangan jauh menggunakan teknologi itu bukan untuk mengurangkan tenaga kerja tetapi bagi membuka potensi insan yang lebih besar,” katanya.- DagangNews.com