Bekas perunding Bank Dunia, Halipah Esa bersara daripada Lembaga Pengarah SD Guthrie selepas 6 tahun berkhidmat | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bekas perunding Bank Dunia, Halipah Esa bersara daripada Lembaga Pengarah SD Guthrie selepas 6 tahun berkhidmat

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 11 Jun — Bekas perunding Bank Dunia, Datuk Halipah Esa bersara daripada jawatan Pengarah Kanan Bebas Bukan Eksekutif SD Guthrie Berhad selepas hampir enam tahun berkhidmat.

 

Kumpulan dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, persaraan beliau berkuat kuasa pada 11 Jun 2026 sejurus tamat Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-23 syarikat itu di Petaling Jaya, Selangor.


Susulan itu, Halipah, 76, turut melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pencalonan dan Ganjaran serta anggota Jawatankuasa Kelestarian dan Jawatankuasa Tender kumpulan berkenaan.


"Pihak Lembaga Pengarah SD Guthrie mengambil peluang merakamkan penghargaan atas kepimpinan, komitmen dan sumbangan tingginya sepanjang tempoh perkhidmatan kepada syarikat ini," jelasnya.


Halipah dilantik ke dalam lembaga berkenaan pada 1 September 2020 dan membawa bersama pengalaman luas selama lebih tiga dekad dalam sektor perkhidmatan awam serta pembangunan ekonomi negara.


Beliau memulakan kerjaya dalam Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD) pada 1973 menerusi Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebelum dilantik dalam pelbagai jawatan.


 

SD Guthrie_DagangNews2026



Antaranya sebagai Ketua Pengarah EPU sehingga persaraannya daripada perkhidmatan awam pada 2006. Halipah turut pernah terlibat aktif secara langsung dalam pelbagai bidang pembangunan negara.


"Ini termasuk aspek ekonomi makro, sumber manusia, infrastruktur, tenaga, pendidikan, pertanian, pembasmian kemiskinan serta dasar alam sekitar dan kelestarian," menurut laman web SD Guthrie.


Selain itu, beliau pernah dilantik sebagai Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, serta menjadi perunding kepada Bank Dunia dan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP).


Di samping itu, Halipah pernah menganggotai lembaga pengarah pelbagai syarikat dan institusi utama negara termasuk PETRONAS, MISC Berhad, KLCC Property Holdings Berhad, dan SP Setia Berhad.


Tidak ketinggalan, beliau pernah menjadi anggota pengarah dalam Cagamas Berhad, UDA Holdings Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta FELDA.


Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) dan Ijazah Sarjana Ekonomi dari Universiti Malaya selain beberapa sijil profesional antarabangsa dalam bidang pengurusan ekonomi. - DagangNews.com