KUALA LUMPUR 11 Jun — Pentech Holdings Berhad mencatatkan hasil RM66.46 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026 (1QFY26), yang diumum menjelang penyenaraian di Pasaran ACE pada 15 Jun 2026.
Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, bagi tempoh tiga bulan tersebut, penyedia rumusan industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) itu melaporkan keuntungan bersih sebanyak RM1.7 juta.
Prestasi keuntungan ini dicapai selepas kumpulan berkenaan mengambil kira perbelanjaan penyenaraian sekali bayar sahaja yang berjumlah RM1.07 juta dan turut diiktiraf dalam suku di bawah tinjauan.
"Sekiranya kos bukan berulang tersebut tidak diambil kira, syarikat ini mampu mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) terlaras yang lebih tinggi iaitu sebanyak RM3.36 juta," jelas Pentech lagi.
Sumbangan utama pendapatan syarikat berkenaan tambahnya, adalah menerusi segmen infrastruktur ICT perusahaan secara bersepadu yang menyumbang RM38.24 juta atau 57.55% daripada jumlah perolehan.
Ini diikuti segmen pembekalan perkakasan dan perisian sebanyak RM12.79 juta (19.24%), manakala segmen perkhidmatan awan dan terurus serta perkhidmatan lain secara kolektif menyumbang 23.21%.
Pentech menyatakan tiada angka perbandingan bagi suku sama tahun sebelumnya kerana ini merupakan laporan kewangan interim pertama yang diumumkan selaras keperluan penyenaraian di Bursa Malaysia.
"Syarikat berpangkalan di Pulau Pinang ini dijadualkan disenarai dengan modal saham diperbesarkan sebanyak 620 juta saham pada harga tawaran awam permulaan (IPO) iaitu 20 sen sesaham," katanya.
Mengenai prospek depan, Lembaga Pengarah menyatakan keyakinan terhadap pertumbuhan syarikat dipacu inisiatif pendigitalan kerajaan seperti MyDigital dan Dasar Revolusi Perindustrian 4.0 Kebangsaan.
Selain itu, Pentech merancang untuk mengukuhkan kedudukan pasarannya melalui penubuhan pusat operasi keselamatan (SOC) yang baharu dan menaik taraf infrastruktur pusat kawalan operasi (OCC).
Kedua-dua inisiatif tersebut jelasnya, akan menggunakan sebahagian daripada kira-kira RM34.4 juta hasil kasar yang bakal diraih daripada permodalan IPO kumpulan berkenaan. - DagangNews.com








