KUALA LUMPUR 11 Jun – i-City menjalin kerjasama dengan syarikat teknologi berpangkalan di Singapura, TwinMatrix Technologies bagi meneroka pembangunan konsep kehidupan bandar berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang lebih berasaskan pengalaman dan interaksi manusia.
Melalui kerjasama itu, i-City akan membangunkan satu pembantu AI dengan watak digital (avatar) yang boleh membantu penduduk dan pengguna mencari dan menggunakan pelbagai kemudahan dalam kawasan i-City dengan lebih mudah.
Pembantu AI tersebut akan menghubungkan pelbagai komponen dalam ekosistem i-City termasuk kediaman, pejabat, pusat beli-belah, hotel serta rangkaian pengangkutan seperti LRT3 untuk mewujudkan pengalaman bandar yang lebih bersepadu.
Antara fungsi yang sedang diterokai termasuk interaksi melalui avatar digital, sistem navigasi serta bantuan pintar yang disesuaikan mengikut situasi dan keperluan harian pengguna.
i-City berkata, inisiatif ini bukan sekadar automasi bandar pintar, sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha menawarkan pengalaman yang menjadikan interaksi dengan teknologi lebih semula jadi, mudah dan mesra pengguna.

“Selain itu, kerjasama ini turut melibatkan penerokaan teknologi yang membolehkan persekitaran fizikal bandar direkod dalam bentuk digital, dipantau dan dianalisis secara masa nyata bagi meningkatkan pengalaman pengguna dalam ekosistem bandar,” katanya dalam satu kenyataan.
TwinMatrix Technologies adalah syarikat berpangkalan di Singapura yang membangunkan platform SpatialVerse, iaitu sistem salinan digital yang membolehkan persekitaran kompleks seperti bangunan, daerah dan perniagaan divisualisasi serta diurus secara masa nyata.
Teknologi syarikat itu sebelum ini telah digunakan di beberapa lokasi berprofil tinggi termasuk Lapangan Terbang Changi, Resorts World Sentosa di Singapura serta Index Tower di Dubai, khususnya dalam aplikasi pemetaan, navigasi dan pemantauan operasi.
Dalam pada itu, i-City turut memperkukuh pembangunan platform kecerdasan bandar yang digambarkan sebagai “otak bandar” bagi menyelaras pelbagai sistem termasuk mobiliti, robotik, kesihatan, perkhidmatan bandar dan infrastruktur digital.
Platform ini juga dibangunkan bersama Mesiniaga dan bertujuan mengintegrasikan semua sistem bandar ke dalam satu ekosistem digital berpusat, termasuk data masa nyata, analitik serta perkhidmatan setempat.

Pengarah I-Berhad, Datuk Eu Hong Chew berkata, pembangunan ini mencerminkan visi i-City untuk menggabungkan infrastruktur pintar dengan pengalaman manusia yang lebih mudah difahami dalam kehidupan bandar masa depan.
“Fokus kami adalah membangunkan lapisan pengalaman bagi persekitaran AI Living supaya teknologi menjadi lebih mudah difahami, digunakan dan dirasai oleh penduduk,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TwinMatrix, Eric Liu berkata kerjasama ini membuka ruang untuk meneroka bagaimana teknologi spatial dan AI boleh membentuk pengalaman bandar yang lebih menyeluruh.
Beliau berkata, masa depan bandar pintar bukan sekadar mendigitalkan bangunan, tetapi membina sistem yang memahami pergerakan, keperluan dan perjalanan pengguna merentasi keseluruhan ekosistem bandar. - DagangNews.com








