KUALA LUMPUR 24 Julai - Bursa Malaysia Securities Berhad mengeluarkan teguran awam terhadap Meridian Berhad dan mengenakan denda RM8,500 ke atas Pengarah Eksekutifnya, Tang Boon Koon, selepas syarikat itu gagal menerbitkan dua laporan tahunan mengikut tempoh yang ditetapkan di bawah Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama (Main LR).
Bursa Malaysia Securities berkata, Meridian melanggar Perenggan 9.23(1) Main LR apabila gagal mengeluarkan laporan tahunan yang mengandungi penyata kewangan teraudit, laporan juruaudit dan laporan pengarah bagi tahun kewangan berakhir 30 November 2023 serta 31 Mei 2025 dalam tempoh yang ditetapkan.
Menurutnya, laporan tahunan bagi tempoh kewangan 17 bulan berakhir 30 November 2023 sepatutnya diterbitkan selewat-lewatnya pada 31 Mac 2024, namun hanya dikeluarkan pada 5 April 2024, iaitu lewat lima hari pasaran.
Bagi laporan tahunan tempoh kewangan 18 bulan berakhir 31 Mei 2025, syarikat sepatutnya menerbitkannya sebelum 30 September 2025, tetapi hanya berbuat demikian pada 8 Oktober 2025, lewat enam hari pasaran.
"Bursa Malaysia Securities memandang serius pelanggaran ini kerana penyerahan penyata kewangan tepat pada masanya merupakan tanggungjawab asas syarikat tersenarai serta penting bagi memastikan pasaran yang teratur, adil dan membantu pelabur membuat keputusan pelaburan yang bermaklumat," katanya dalam satu kenyataan.
Hadir Program Latihan
Selain teguran awam, Bursa Malaysia turut mengarahkan Meridian memastikan Tang dan kakitangan berkaitan menghadiri program latihan pematuhan berkaitan Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama, khususnya melibatkan penyata kewangan.
Lembaga Pengarah syarikat juga diarahkan mengkaji semula kecukupan dan kompetensi sumber kewangan serta perakaunan syarikat, selain menilai keberkesanan dasar dan prosedur pelaporan kewangan.
Dalam pada itu, Tang didapati melanggar Perenggan 16.13(b) Main LR kerana membenarkan syarikat melakukan pelanggaran tersebut.
Beliau dikenakan teguran awam serta denda keseluruhan RM8,500 selepas Bursa Malaysia selesai menjalankan proses sewajarnya dan menilai semua fakta berkaitan, termasuk tahap material pelanggaran, kesannya terhadap syarikat dan pemegang saham serta peranan dan tanggungjawab beliau.
Bursa Malaysia berkata, walaupun kelewatan penerbitan laporan tahunan hanya melibatkan lima dan enam hari pasaran, pelabur sebenarnya tidak memperoleh akses kepada maklumat kewangan teraudit syarikat bagi tempoh melebihi 17 bulan dan 18 bulan, sekali gus menjejaskan ketelusan maklumat kepada pasaran.
Tang, yang merupakan satu-satunya Pengarah Eksekutif Meridian ketika itu, didapati gagal memastikan maklumat dan bukti audit yang lengkap disediakan kepada juruaudit luar bagi membolehkan audit diselesaikan serta laporan tahunan diterbitkan mengikut jadual. - DagangNews.com







