KUALA LUMPUR 11 Jun - Coastal Contracts Bhd memperoleh kontrak bernilai kira-kira RM834.7 juta daripada syarikat petroleum nasional Mexico, Pemex, bagi kerja-kerja pembangunan dan operasi Loji Perdiz Kedua di Medan Ixachi, Mexico.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, kontrak yang dimeterai pada 10 Jun 2026 (waktu Mexico) merangkumi perolehan, pengangkutan, pemasangan, penyambungan, pentauliahan, pengujian, permulaan operasi serta operasi dan penyelenggaraan (O&M) loji penapisan gas berkenaan.
Kontrak tersebut diperoleh menerusi konsortium yang disertainya dan melibatkan komponen kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) bernilai dianggarkan AS$157.5 juta (RM641.9 juta).
Selain itu, kontrak operasi dan penyelenggaraan bernilai AS$47.3 juta (RM192.8 juta) dengan tempoh selama tiga tahun bermula 20 Mei 2026 hingga 19 Mei 2029.
Secara keseluruhan, nilai gabungan kontrak EPC dan O&M berjumlah kira-kira AS$204.8 juta atau RM834.7 juta.
Coastal berkata, kontrak tersebut merupakan urusan perniagaan biasa syarikat dan dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan serta aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026 dan tahun-tahun kewangan berikutnya sepanjang tempoh pelaksanaan projek.
"Kontrak ini tidak memberi sebarang kesan terhadap modal saham terbitan dan berbayar syarikat, namun dijangka menyumbang secara positif kepada prestasi kewangan kumpulan," katanya.
Menurut syarikat itu, pelaksanaan projek berkenaan berdepan beberapa risiko lazim industri termasuk ketidaktentuan harga tenaga global, turun naik kadar pertukaran asing serta peningkatan kos bahan dan peralatan.
Selain itu, ketegangan geopolitik global, gangguan rantaian bekalan dan langkah tarif baharu yang diperkenalkan Amerika Syarikat ke atas pelbagai input perindustrian juga berpotensi memberi kesan kepada kos pelaksanaan dan jadual projek.
Bagi mengurangkan risiko tersebut, Coastal akan memperluaskan sumber pembekal, memeterai perjanjian bekalan jangka panjang serta mendapatkan peralatan kritikal lebih awal bagi memastikan kestabilan kos dan bekalan.
Syarikat itu turut menjelaskan bahawa projek berkenaan terdedah kepada risiko gangguan operasi seperti kerosakan mekanikal, kesilapan manusia, cuaca buruk, tindakan politik, mogok dan faktor-faktor lain di luar kawalan.
Bagaimanapun, risiko tersebut dijangka dapat diminimumkan menerusi pengalaman syarikat dalam sektor minyak dan gas, pematuhan ketat terhadap prosedur operasi standard, pengurusan projek yang berkesan serta perlindungan insurans yang mencukupi.
Lembaga Pengarah Coastal berpandangan kontrak tersebut adalah demi kepentingan terbaik syarikat dan pemegang sahamnya. - DagangNews.com








