Ceroboh tanah: Terengganu serah Notis Seksyen 425 kepada FGV sebelum proses sitaan bermula | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ceroboh tanah: Terengganu serah Notis Seksyen 425 kepada FGV sebelum proses sitaan bermula

Gambar- FB Datuk Dr Azman Ibrahim
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA TERENGGANU 1 Dis – Kerajaan negeri memulakan langkah penguatkuasaan undang-undang terhadap ladang Felda Global Ventures (FGV) dengan menyerahkan Notis Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (Akta 828) kepada pihak pengurusan syarikat berkenaan kerana menduduki tanah kerajaan negeri tanpa kebenaran sah.

 

Notis Seksyen 425 itu memberi tempoh empat hari (bermula 30 Nov 2025) kepada FGV untuk mengeluarkan semua aset boleh alih sebelum proses sitaan bermula.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Datuk Dr Azman Ibrahim berkata, selepas tempoh remedi, proses sitaan akan bermula dengan aset yang disita akan menjadi milik Pihak Berkuasa Negeri.

 

 

 

 

 

 

 

 

"Selepas itu prosedur undang-undang dengan tindakan kompoun dan prosedur jenayah akan diteruskan. Siapa yang akan memikul semua beban tanggungjawab atas kesalahan Seksyen 425 ini?. Ia bukan kesalahan pengurus ladang, bukan pekerja, bukan buruh ladang dan bukan juga pegawai. 

 

“Ahli Lembaga Pengarah FGV dan Ahli Lembaga Pengarah Felda ialah mereka yang bakal menerima notis perundangan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Isu tanah: Terengganu beri kata dua kepada Felda - selesai dalam 40 hari atau ke mahkamah

 

Operasi menyerahkan notis itu berjalan di 127 lokasi berlainan dengan melibatkan Penguatkuasa dari Pejabat Tanah dan Galian Negeri Terengganu, Pejabat Tanah Daerah dan PDRM.

 

Daripada jumlah itu, penguatkuasa terlibat ialah dari Setiu seramai 55 orang diikuti Marang (32), Besut (20), Dungun (26), Kemaman (15) dan Hulu Terengganu (8).

 

Dalam pada itu, Kerajaan Negeri bersetuju untuk memberi pertimbangan kelonggaran kepada beberapa perkara susulan perjumpaan pengurusan Felda dan FGV Terengganu dengan Pengarah Tanah dan Galian Negeri Terengganu.

 

Dr Azman berkata antaranya ialah kebenaran untuk pekerja terus tinggal di kuarters sehingga keputusan lanjut dibuat, kebenaran penggunaan bas sekolah untuk ambil dan hantar anak-anak pekerja ke sekolah serta penggunaan surau dalam kawasan perumahan ladang.

 

 

 

 

 

“Selain itu, penggunaan van syarikat untuk memudahkan penduduk keluar masuk atas urusan yang tidak berkaitan kerja dan untuk urusan kecemasan.

 

“Kawalan keselamatan di pintu masuk ladang FGV akan dikendalikan oleh  Polis Bantuan/Security FGV bersama dengan Ibu Pejabat Polis Daerah dan Pejabat Tanah Daerah,” katanya. - DagangNews.com