KUALA LUMPUR 24 Julai – Khazanah Nasional Berhad dikatakan mahu menjual pegangan saham dalam Tenaga Nasional Berhad (TNB) bernilai kira-kira RM1.4 bilion menerusi proses tawaran persendirian.
Menurut Bloomberg memetik sumber yang mengetahui urus niaga berkenaan, dana itu berhasrat menjual 100 juta saham TNB berharga RM13.91 sesaham, dengan nilai keseluruhan transaksi RM1.39 bilion.
Sumber berkata, urus niaga itu dikatakan pada 21 Julai 2026 dengan penyelesaian dijadualkan pada 24 Julai 2026, namun identiti mereka tidak didedahkan kerana maklumat tersebut bersifat sulit.
Jelas Bloomberg, harga penempatan sebanyak RM13.91 sesaham itu mewakili diskaun kira-kira 4.5% berbanding harga penutupan saham TNB pada 21 Julai 2026 yang mencecah nilai RM14.56 sesaham.
Berdasarkan data yang dikumpulkan oleh Bloomberg sendiri, Khazanah merupakan pemegang saham kedua paling besar dalam syarikat utiliti nasional berkenaan dengan penguasaan pegangan sebanyak 17.7%.
Sementara satu lagi dana persaraan awam, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pula jelas Boomberg, masih kekal sebagai pemegang saham terbesar syarikat berkenaan.
Bloomberg turut melaporkan bahawa wakil Khazanah tidak memberikan sebarang maklum balas terhadap permintaan untuk mendapatkan komen berhubung transaksi penjualan berkenaan.
Menurut Bloomberg, Khazanah sebelum ini dikatakan mempertimbangkan untuk mengurangkan pegangan dalam beberapa syarikat termasuk TNB sebagai sebahagian strategi pengurusan portfolio pelaburan.
Pada tahun lalu, Khazanah pernah menerbitkan bon boleh tukar kepada saham TNB, dengan hasil terbitan digunakan bagi tujuan pelaburan am, pembiayaan semula pinjaman serta modal kerja.
Setakat ini, tiada sebarang pengesahan rasmi dikeluarkan oleh Khazanah berhubung dakwaan penjualan pegangan saham TNB itu, manakala butiran lanjut mengenai transaksi masih belum diumumkan.
Sementara itu, jurucakap TNB ketika dihubungi DagangNews berkata, syarikat tidak mempunyai sebarang komen berhubung laporan Bloomberg tersebut, selaras pendirian yang diambil sebelum ini. - DagangNews.com







