KUALA LUMPUR 24 Julai — QL Resources Berhad mencatatkan penyusutan kecil kira-kira 1% keuntungan selepas cukai (PAT) kepada RM450.33 juta bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Mac 2026 (FY26).
Penurunan ini disebabkan kesan pemansuhan sepenuhnya subsidi telur di pasaran Malaysia bermula pada 1 Ogos 2025, selain daripada tekanan margin yang dihadapi oleh segmen perniagaan tertentu.
Meskipun berdepan dengan situasi yang mencabar, syarikat melaporkan hasil kekal stabil pada paras RM7.04 bilion, menyamai rekod paling tinggi pernah dicapai pada tahun kewangan sebelumnya (FY25).
"Sementara itu, keuntungan sebelum cukai (PBT) sepanjang tempoh tersebut pula dilaporkan sebanyak RM639.63 juta iaitu merosot 3.94%," jelas QL Resources dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Hasil segmen penternakan bersepadu (ILF) menjana RM3.62 bilion kepada kumpulan, namun PBT menyusut kepada RM249.58 juta, dipengaruhi bekalan domestik yang mengekalkan harga telur pada paras rendah.
Dalam pada itu segmen pembuatan produk marin (MPM) merekodkan hasil RM1.35 bilion dengan PBT cuma RM240.81 juta, disebabkan penurunan harga jualan produk huluan seperti surimi dan tepung ikan.

Segmen rangkaian kedai serbaneka (CVS) FamilyMart yang dikendalikan QL Resoucres pula tumbuh 3.1% hasil kepada RM1.25 bilion, berikutan pengembangan agresif bilangan premis di seluruh negara.
"Bagaimanapun, PBT segmen ini jatuh 23.4% kepada RM47.67 juta akibat kenaikan kos operasi termasuk sewa kedai, gaji pekerja, serta perluasan skop cukai perkhidmatan dan jualan (SST)," tambahnya.
Kumpulan berkata, segmen minyak sawit dan tenaga bersih (POCE) menunjukkan momentum positif dengan peningkatan hasil kira-kira 3.9% kepada RM821.44 juta dan PBT mencecah sebanyak RM101.56 juta.
Pengerusi Eksekutif QL Resources, Dr Chia Song Kun menyatakan kepelbagaian model perniagaan dan kehadiran serantau menyeimbangkan aliran tunai apabila segmen tertentu berdepan tekanan tertentu.
Sebagai penghargaan kepercayaan pemegang saham, kumpulan mencadangkan dividen 5.0 sen sesaham bagi tahun kewangan tersebut, yang melibatkan jumlah pembayaran keseluruhan sebanyak RM182.48 juta.
"Melangkah ke hadapan, kumpulan optimis terhadap prospek FY27 dengan memberi fokus kecekapan operasi dan pelaburan strategik yang dijangka meningkatkan hasil secara signifikan," katanya. - DagangNews.com







