Subsidiari Epicon berdepan tuntutan saman balas RM22.5 juta daripada Ibrahim & Sons | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Subsidiari Epicon berdepan tuntutan saman balas RM22.5 juta daripada Ibrahim & Sons

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 24 Julai - Pertikaian mahkamah melibatkan Epicon Bhd semakin memburuk apabila Ibrahim & Sons Engineering Sdn. Bhd. (IBSE) bersama tiga defendan lain memfailkan saman balas yang antara lain menuntut ganti rugi khusus berjumlah RM22.5 juta daripada Transnational Builder Sdn. Bhd. (TBSB).

 

Epicon yang merupakan syarikat induk TBSB dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, pembelaan dan tuntutan balas defendan telah diserahkan secara elektronik kepada TBSB pada 23 Julai.

 

Prosiding di Mahkamah Tinggi Johor Bahru itu dimulakan oleh TBSB terhadap IBSE, Zafrin Ibrahim, Zulkflee Ibrahim dan Khaeromze Ahmad.

 

Dalam tuntutan balas tersebut, defendan memohon satu deklarasi bahawa notifikasi CTOS yang dibuat oleh TBSB terhadap IBSE adalah tidak sah dan tidak mempunyai sebarang kesan di sisi undang-undang.

 

Mereka turut memohon satu perintah supaya TBSB membatalkan dan mengeluarkan notifikasi CTOS berkenaan dalam tempoh tujuh hari dari tarikh perintah mahkamah dikeluarkan.

 

IBSE dakwa alami kerugian akibat notifikasi CTOS

IBSE turut menuntut ganti rugi berjumlah RM7.999 juta yang didakwanya berpunca daripada pembatalan pesanan belian yang dikeluarkan oleh Tenaga Nasional Bhd. (TNB).

 

Syarikat itu juga menuntut ganti rugi RM14.5 juta yang didakwanya berpunca daripada pembatalan kemudahan perbankan dan pembiayaan yang ditawarkan oleh bank serta institusi kewangan.

 

Dua tuntutan kewangan khusus itu berjumlah RM22.499 juta atau kira-kira RM22.5 juta.

 

Sebagai alternatif kepada tuntutan RM14.5 juta tersebut, defendan memohon ganti rugi am yang akan ditaksirkan oleh mahkamah.

 

Mereka juga menuntut ganti rugi teladan, kos tindakan termasuk kos atas dasar peguam cara dan anak guam, selain faedah pada kadar 5% setahun ke atas apa-apa jumlah penghakiman yang diberikan bagi tuntutan berkaitan, dikira dari tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh.

 

Nasihat Undang-Undang

Epicon berkata, TBSB telah dinasihati oleh peguam caranya bahawa syarikat itu mempunyai peluang pembelaan yang baik terhadap tuntutan balas berkenaan.

 

Menurut syarikat itu, TBSB akan terus mendapatkan nasihat undang-undang berhubung perkara tersebut serta langkah seterusnya yang perlu diambil.

 

Epicon berkata, syarikat akan membuat pengumuman lanjut sekiranya terdapat sebarang perkembangan material berkaitan prosiding itu.

 

Perkembangan terbaharu itu menyusuli pengumuman Epicon pada 1 Julai lalu berhubung writ saman dan prosiding injunksi Mareva terhadap IBSE serta tiga defendan individu terbabit. - DagangNews.com