KUALA LUMPUR 24 Julai – Tenaga Nasional Bhd (TNB) selaku antara syarikat utiliti terkemuka di ASEAN, kini dalam usaha membangunkan ekosistem perolehan yang lebih berdaya tahan menerusi pengukuhan jalinan kerjasama serantau, kata Ketua Pegawai Perolehannya Ir. Ts. Amir Mahmod Abdullah.
Beliau berkata usaha itu semakin penting ketika organisasi berdepan perubahan dinamik rantaian bekalan, peralihan geopolitik serta landskap kawal selia yang sentiasa berkembang.
"Kami menyokong ASEAN Centre of Excellence sebagai platform untuk memacu inovasi rantaian bekalan, memperkukuh kerjasama serantau dan meningkatkan kecemerlangan perolehan dalam kalangan ekonomi ASEAN.
"Pada masa sama, kita perlu mengiktiraf serta menangani secara telus perbezaan dari segi dinamik pasaran, ekosistem pembekal, rangka kerja kawal selia serta dasar rantaian bekalan dan perdagangan di 11 negara anggota ASEAN," katanya pada sesi panel bertajuk The Future of Regional Procurement Centre of Excellence sempena Procurement Leadership ASEAN Summit (PLAS) 2026 yang diadakan baru-baru ini.
Sesi panel itu membincangkan usaha ASEAN memperkukuh keupayaan perolehan menerusi kerjasama, tadbir urus dan inovasi, di samping membina rantaian bekalan yang lebih kukuh dan berdaya tahan di seluruh rantau ini.
Berkongsi perspektif TNB, Amir turut menekankan kepentingan dalam mewujudkan platform serantau yang lebih kukuh bagi membolehkan perkongsian pengetahuan, inovasi serta pembentukan kerjasama jangka panjang.
Menerusi penyertaan aktif dalam platform serantau seperti PLAS 2026 serta sokongannya terhadap ASEAN Centre of Excellence, TNB kekal komited untuk memperkukuh tadbir urus, memupuk kerjasama dan menyokong pembangunan ekosistem perolehan ASEAN yang lebih berdaya tahan serta mampan.
TNB kini menduduki tempat kedua sebagai jenama utiliti paling kukuh di dunia menurut Brand Finance, dengan penarafan jenama AAA dan nilai jenama dianggarkan sebanyak AS$2.3 bilion .– BERNAMA







