Isu tanah Terengganu: FELDA, FGV sedang buat semakan untuk selesaikan mengikut undang-undang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Isu tanah Terengganu: FELDA, FGV sedang buat semakan untuk selesaikan mengikut undang-undang

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 2 Dis – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan FGV Holdings Berhad (FGV) mengambil maklum dan memandang serius notis-notis amaran pendudukan secara tidak sah atau kesalahan menceroboh di Daerah Besut, Setiu, Dungun, Hulu Terengganu, Marang dan Kemaman yang dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu pada 30 November, 1 dan 2 Disember 2025. 

 

Notis-notis amaran ini merujuk kepada ladang lot FELDA dan FGV.

 

Dalam satu kenyataan bersama Felda dan FGV, kedua-dua pihak itu berkata, walaupun Kerajaan Negeri Terengganu mempunyai bidang kuasa dalam urus tadbir tanah, namun notis-notis amaran yang memberikan tempoh tiga hari untuk FELDA dan FGV mengosongkan tanah, merobohkan struktur binaan serta memusnahkan tanaman merupakan tempoh yang amat ketat, mendesak dan sangat singkat di dalam konteks perancangan tanah dan operasi perladangan komersial.

 

 

 

 

 

 

"FELDA mempunyai hak dan asas yang jelas serta kukuh di bawah Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 [Akta 530], yang memberi mandat dan tanggungjawab secara langsung kepada FELDA untuk membangunkan Kawasan Penempatan Berkelompok (GSA). 

 

"Ini juga selaras dengan kuasa yang diberikan di bawah Akta Pembangunan Tanah 1956 [Akta 474].

 

"Buat masa ini, FELDA dan FGV sedang menjalankan proses semakan menyeluruh ke atas semua dokumen berkaitan, termasuk sejarah, rekod pembayaran, bayaran premium tanah, status hak milik dan syarat-syarat pembangunan ladang," menurut kenyataan itu.

 

Proses semakan tersebut dilaksanakan secara teliti melalui audit tanah yang komprehensif dan verifikasi silang dengan data pihak berkuasa negeri bagi memastikan ketepatan dan kelengkapan semua maklumat. 

 

FELDA dan FGV berkata, pihaknya akan bertindak berdasarkan rekod rasmi dan dokumentasi yang disahkan serta disokong oleh fakta.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Ceroboh tanah: Terengganu serah Notis Seksyen 425 kepada FGV sebelum proses sitaan bermula  

 

"Pembangunan ladang komersial FELDA dan FGV di Negeri Terengganu selama ini bertujuan menjana pendapatan bagi menyokong pembangunan komuniti, penyediaan infrastruktur dan pelaksanaan program peningkatan sosioekonomi peneroka. 

 

"Ekosistem perladangan secara lestari merentasi seluruh rantaian nilai sawit menghimpun dari buah tandan segar (BTS) ke jualan minyak sawit dilakukan oleh anak syarikat FELDA iaitu FGV. 

 

"Operasi ini turut memainkan peranan penting dalam merancakkan aktiviti ekonomi setempat melalui peluang pekerjaan, perkhidmatan sokongan dan rantaian industri lain di negeri tersebut," tambah kenyataan itu.

 

T

 

FELDA dan FGV juga mengakui wujudnya pelbagai pandangan dan spekulasi. 

 

"FELDA dan FGV ingin menegaskan bahawa isu ini akan ditangani sepenuhnya secara profesional melalui prosedur perundangan yang ditetapkan bagi menjamin ketelusan dan keadilan dalam setiap tafsiran serta keputusan yang akan dibuat. 

 

"FELDA dan FGV sedang meneliti implikasi undang-undang ini secara mendalam dan akan mengambil semua langkah yang perlu bagi mengurus kesannya terhadap FELDA dan FGV supaya kepentingan peneroka terus terpelihara.

 

"Pendekatan ini adalah untuk memastikan perlindungan hak setiap pihak yang terlibat, termasuk menjamin kesinambungan pendapatan kesemua 1,283 pekerja yang bergantung sepenuhnya kepada operasi ladang-ladang tersebut," menurut kenyataan itu.

 

Dalam pada itu, kedua-dua pihak menegaskan kebajikan pekerja FELDA dan FGV, kepentingan komuniti peneroka serta kestabilan sosioekonomi komuniti setempat akan terus dipertahankan sebagai keutamaan tertinggi dalam sebarang proses dan penyelesaian.

 

"FELDA dan FGV ingin menegaskan bahawa notis-notis amaran yang dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu tidak memberi sebarang kesan terhadap operasi ladang peneroka dan seluruh komuniti peneroka di FELDA Wilayah Terengganu. 

 

"Komuniti peneroka menelusuri hubungan sejarah panjang yang mendalam terhadap FELDA dan FGV khususnya perancangan jangka panjang dan kelancaran aktiviti komersial yang berkaitan. 

 

"Implikasinya turut merangkumi penurunan hasil yang menyumbang kepada pendapatan negara sekali gus memberi kesan kepada komuniti peneroka yang bergantung kepada prestasi sektor perladangan," katanya.

 

 

 

 

 

 

FELDA dan FGV kekal optimis bahawa penyelesaian terbaik akan dapat dicapai melalui proses perundangan yang teratur dan semangat kerjasama antara semua institusi kerajaan yang terlibat. 

 

"FELDA dan FGV beriltizam untuk memastikan setiap tindakan yang dilaksanakan adalah selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa dengan tetap memelihara kepentingan pekerja, komuniti peneroka, menghormati bidang kuasa negeri serta menyumbang kepada kestabilan industri perladangan negara secara keseluruhan," menurut kenyataan itu. - DagangNews.com