Permintaan runcit emas dikhuatiri susut sebab harga tinggi, pelabur mula pilih syiling dan jongkong - MGA | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Permintaan runcit emas dikhuatiri susut sebab harga tinggi, pelabur mula pilih syiling dan jongkong - MGA

LOUIS Ng pada sidang akhbar selepas Persidangan Emas Malaysia 2026 (MGC) di Kuala Lumpur hari ini. - DagangNews.com / Amree Ahmad
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 3 Feb - Persatuan Emas Malaysia (MGA) menjangkakan permintaan terhadap emas mengalami sedikit penurunan berikutan lonjakan harga semasa yang kini mencecah paras RM400 segram.


Presidennya, Datuk Seri Louis Ng berkata, situasi pasaran masa ini banyak dipengaruhi secara signifikan oleh faktor perubahan jangkaan terhadap pergerakan kadar faedah semasa di Amerika Syarikat (AS).


Sebelum ini jelas beliau, ramai pelabur meramalkan berlakunya pemotongan kadar faedah, namun pengumuman mengenai kepimpinan Rizab Persekutuan AS dilihat cenderung kepada dasar kewangan ketat.

 

 

 

 

 


"Situasi berkenaan sebenarnya mengubah sentimen positif tersebut, dengan kami menjangka trend permintaan jatuh apabila ramai beralih kepada syiling dan jongkong," katanya pada sidang akhbar.


Terdahulu, beliau melancarkan Prinsip Industri Emas Malaysia (MGIP) pada Persidangan Emas Malaysia 2026 (MGC) di sini hari ini yang turut disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif WGC, David Tait.


Menurut Ng, emas merupakan item yang bernilai tinggi dan kos pemegangannya adalah mahal, dengan pergerakan kadar faedah memberi kesan langsung kepada kos pelabur mencecah antara 3% hingga 5%.

 

Artikel berkaitan: MGA lancar Prinsip Industri Emas Negara sebagai langkah kawal selia kendiri pasaran


Mengulas mengenai trend pasaran tempatan, beliau berkata, walaupun nilai perolehan jualan mungkin kelihatan sama, namun jumlah atau kuantiti emas dibeli pengguna sebenarnya semakin berkurangan.


"Dengan harga emas yang begitu tinggi sekarang, saya merumuskan bahawa permintaan terhadap emas akan menurun," katanya merujuk kepada situasi pengguna mungkin membeli dalam kuantiti lebih kecil.


Selain itu katanya, terdapat anjakan ketara dalam trend pembelian runcit di Malaysia, kerana jika sebelum ini pembelian barangan kemas menguasai 80% hingga 90% pasaran berbanding syiling emas.

 

 

 

 

 

 


Sebaliknya jelas Ng, kini angka tersebut sudah beralih kepada sekitar 60%, dan situasi anjakan ini berlaku kerana pelabur lebih melihat emas sebagai instrumen pelaburan berbanding alat perhiasan.


Di samping itu tambah beliau, langkah tersebut bertujuan untuk mengelakkan dikenakan kos upah yang secara kelazimannya adalah lebih tinggi pada barangan kemas dalam jangka panjang. - DagangNews.com