KUALA LUMPUR 9 Jun – SDS Group Berhad masih berdepan prospek jangka pendek yang mencabar walaupun syarikat itu bakal menerima sokongan pendapatan baharu daripada produk London Roll serta pengoperasian kilang yang diperoleh daripada Mamee-Double Decker, kata Public Investment Bank.
Firma penyelidikan itu juga mengekalkan saranan “Neutral” terhadap SDS, namun menurunkan harga sasaran kepada RM0.45 berbanding RM0.47 sebelum ini.
Harga semasa saham SDS berada pada RM0.415, sekali gus memberi potensi pulangan sekitar +8.9% berdasarkan harga sasaran baharu tersebut.
Penilaian ini dibuat berdasarkan kira-kira 10 kali unjuran pendapatan sesaham (EPS) tahun kewangan 2027 (FY27F), selari dengan purata nisbah harga kepada pendapatan (PE) hadapan lima tahun syarikat.
Menurut PublicInvest, penurunan harga sasaran turut mencerminkan jangkaan pertumbuhan yang lebih perlahan dalam tempoh terdekat walaupun terdapat pelan pengembangan jangka panjang.
“Dari segi operasi, Kilang 1 yang diperoleh daripada Mamee telah pun beroperasi selepas siap pengubahsuaian serta memperoleh kelulusan kawal selia, manakala Kilang 2 dan Kilang 3 sedang dalam proses naik taraf secara berperingkat.
“Produk London Roll dijangka mula menyumbang kepada pendapatan SDS secara berperingkat bermula FY27F, selepas rangkaian pengedaran dan asas pelanggan dibangunkan,” kata PublicInvest dalam nota kajiannya.
Produk ini akan diedarkan melalui rangkaian logistik sedia ada SDS serta pengedar pihak ketiga bagi memperluas capaian ke kawasan yang belum diliputi.
SDS juga merancang untuk meneroka pasaran eksport pada peringkat seterusnya, memanfaatkan jangka hayat produk London Roll yang lebih panjang berbanding produk bakeri segar sedia ada.
Bagaimanapun, firma itu berkata keterlihatan pendapatan daripada segmen baharu ini masih terhad dalam jangka pendek kerana proses pembinaan permintaan pasaran dijangka mengambil masa.
Dari sudut kewangan, PublicInvest mengekalkan unjuran pendapatan SDS tanpa perubahan walaupun mengambil kira potensi pertumbuhan baharu tersebut.
Bagi FY27F, keuntungan bersih teras dijangka berada pada RM20.1 juta dengan EPS sekitar 3.7 sen, lebih rendah berbanding 5.0 sen pada FY2026, mencerminkan tekanan margin dan kos operasi.
Hasil kumpulan juga dijangka menyusut kepada RM322.5 juta pada FY27F sebelum kembali meningkat secara beransur kepada RM336.0 juta pada FY28F.
Antara faktor risiko utama termasuk harga minyak yang tinggi, peningkatan kos bahan pembungkusan berasaskan petroleum serta perbelanjaan pengguna yang masih lemah.
Selain itu, segmen borong turut terdedah kepada risiko perubahan subsidi diesel dengan jaminan bekalan bahan api hanya sehingga Julai 2026, manakala segmen runcit kekal tertekan akibat sentimen pengguna yang berhati-hati.
Walaupun begitu, SDS mempunyai kedudukan kewangan yang stabil dengan tiada pinjaman bank selain pelan pembukaan tiga cawangan baharu serta usaha penambahbaikan menu pada CY26 bagi mengukuhkan jualan runcit. - DagangNews.com








