KUALA LUMPUR 9 Jun – Khazanah Nasional Berhad memperhebatkan usaha terus membina keupayaan industri tempatan bagi memastikan Malaysia tidak lagi sekadar menjadi destinasi pelaburan menarik.
Sebaliknya menurut Pengarah Urusannya, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir, negara ini juga perlu muncul sebagai ekonomi bernilai tinggi dan lebih berdaya tahan mengharungi ketidaktentuan ekonomi dunia.
Fasa pembangunan seterusnya bergantung kepada sejauh mana pelaburan mampu mengukuhkan syarikat tempatan, mewujudkan rantaian industri serta membangunkan bakat dan teknologi bernilai besar.
"Malaysia tidak lagi boleh bergantung semata-mata kepada daya tarikan terhadap modal asing kerana aktiviti pelaburan perlu peningkatan keupayaan domestik dan nilai ekonomi yang mampan," katanya.
Dalam Laporan Khazanah 2025, dana kekayaan negara itu melaporkan prestasi kewangan kekal kukuh mencatat pulangan tahunan 5.2%, manakala pulangan tahunan bagi tempoh tujuh tahun mencecah 6.1%.
Amirul Feisal dalam laporan itu berkata, jumlah aset Khazanah meningkat kepada RM156 bilion dengan aset bersih bernilai RM105 bilion, manakala keuntungan operasi direkodkan sebanyak RM5.6 bilion.
Dana berkenaan ujar beliau, turut mengumumkan pembayaran dividen RM2 bilion kepada kerajaan pada 2025, menjadikan jumlah keseluruhan dividen yang disalurkan sejak 2004 mencecah RM21.1 bilion.

"Bagi memperkukuhkan lagi kedudukan Malaysia ke atas industri strategik, kami meneruskan pelaburan dalam ekosistem semikonduktor melalui sebuah syarikat kecerdasan buatan (AI), Syntiant," tambahnya.
Firma yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) itu jelas beliau, dijangka mengembangkan operasi pembuatan di Pulau Pinang serta syarikat reka bentuk litar bersepadu tempatan, SkyeChip Berhad.
Selain itu, inisiatif Dana Impak seperti Jelawang Capital dan Malaysia Growth Innovation Programme (MGIP) terus diperkasakan bagi membantu syarikat tempatan, vendor serta tenaga kerja negara ini.
Khazanah juga katanya, memainkan peranan penting dalam pembangunan infrastruktur strategik negara menerusi pelaburannya dalam Tenaga Nasional Berhad (TNB), Telekom Malaysia (TM) dan UEM Lestra.
"Di samping itu, kami terlibat menjayakan usaha penswastaan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) yang disifatkan sebagai langkah penting dalam pengurusan aset negara," tegas Amirul Feisal.
Dalam aspek pembangunan modal insan, program K-Youth berjaya melatih 9,934 belia sepanjang 2025, menjadikan jumlah peserta keseluruhan melebihi 34,000 orang sejak diperkenalkan dana tersebut.
Peserta terlibat ujarnya, memberi tumpuan sektor semikonduktor, penerbangan, TVET serta teknologi digital dengan penekanan kepada isu kemampanan dan kesiapsiagaan menghadapi cabaran masa depan.
Khazanah jelasnya, akan terus komited memperkukuh daya saing dan ketahanan ekonomi negara melalui strategi 'Advancing Malaysia' dan rangka kerja 'Securing the Future'. - DagangNews.com








