KUALA LUMPUR 9 Jun – Cypark Resources Berhad bercadang mengumpul sehingga RM52.7 juta menerusi cadangan penempatan persendirian bagi membiayai pelbagai projek tenaga boleh baharu (RE) yang sedang dibangunkan syarikat itu di seluruh negara.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Cypark berkata cadangan itu melibatkan penerbitan sehingga 82.3 juta saham baharu mewakili kira-kira 10% daripada jumlah saham terbitan syarikat yang diperbesarkan.
Menurut syarikat itu, saham berkenaan akan diterbitkan kepada pelabur pihak ketiga yang akan dikenal pasti kemudian pada harga terbitan yang akan ditentukan kelak.
Berdasarkan harga indikatif 64 sen sesaham, Cypark dijangka meraih hasil kasar sekitar RM52.7 juta mewakili diskaun kira-kira 5.51% berbanding purata harga wajaran volum lima hari saham syarikat sebanyak 67.7 sen setakat 31 Mei lalu.
Daripada jumlah itu, sebanyak RM45 juta akan digunakan bagi membiayai projek-projek tenaga boleh baharu dan infrastruktur hijau syarikat manakala kira-kira RM7.1 juta diperuntukkan untuk modal kerja.
Baki hasil daripada pelaksanaan penempatan persendirian itu pula akan digunakan bagi menampung perbelanjaan berkaitan pelaksanaan cadangan tersebut.
Cypark berkata, dana berkenaan belum diperuntukkan kepada mana-mana projek khusus pada masa ini kerana pengagihan akan dibuat berdasarkan keperluan pembiayaan sebenar dari semasa ke semasa.
Antara projek utama yang sedang dibangunkan kumpulan itu ialah projek hidro hibrid dan solar terapung berkapasiti 595 megawatt arus ulang-alik (MWac) lengkap dengan sistem penyimpanan tenaga bateri di Tasik Kenyir, Terengganu yang dianggarkan menelan kos pembangunan RM1.96 bilion.
Selain itu, syarikat turut melaksanakan Fasa 2 loji sisa kepada tenaga (WTE) di Ladang Tanah Merah, Negeri Sembilan dengan nilai pembangunan sekitar RM700 juta.
Cypark juga sedang membangunkan sebuah loji solar fotovoltaik berkapasiti 99.99MWac di Port Dickson, Negeri Sembilan dengan kos pembangunan dianggarkan RM300 juta.
Menurut syarikat itu, langkah penempatan persendirian tersebut akan menyediakan sumber pembiayaan tambahan tanpa melibatkan kos faedah atau obligasi pembayaran balik seperti pinjaman konvensional.
Tambahnya lagi, pelaksanaan secara berperingkat membolehkan syarikat mendapatkan dana mengikut keperluan semasa selain membantu mengurangkan kesan pencairan pegangan terhadap pemegang saham sedia ada.
Bagaimanapun, Cypark berdepan tekanan kewangan apabila mencatat kerugian bersih RM17 juta bagi suku ketiga berakhir 31 Januari 2026 berbanding keuntungan bersih RM8.76 juta setahun lalu, walaupun hasil meningkat hampir 9% kepada RM43.2 juta daripada RM39.7 juta sebelumnya. - DagangNews.com








