KUALA LUMPUR 9 Jun — Cabaran tekanan inflasi dan risiko kos bahan binaan yang naik semakin ketara dijangka menjadi masalah utama kepada syarikat-syarikat sektor hartanah pada separuh kedua 2026.
Menurut MBSB Research, situasi tersebut menjadikan industri itu tidak menentu walaupun permohonan pinjaman perumahan menunjukkan peningkatan dan sentimen pembelian kekal stabil setakat ini.
Faktor itu berpotensi menjejaskan margin keuntungan pemaju dan memperlahankan sentimen pembelian hartanah sekiranya tekanan harga terus meningkat dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
"Kami mengekalkan penarafan ‘neutral’ terhadap sektor hartanah, meskipun data terkini menunjukkan permohonan pinjaman bagi pembelian hartanah naik kepada RM62.8 bilion pada April 2026," jelasnya.
Secara kumulatif kata MBSB Research, jumlah permohonan pembiayaan bagi empat bulan pertama 2026 mencecah RM206.6 bilion, meningkat 1.8%, yang turut mencerminkan sentimen pembeli masih stabil.
Pada masa sama ujar firma penyelidikan tersebut, jumlah pinjaman yang diluluskan meningkat kepada RM26.9 bilion pada April 2026, naik 22.4% bulan ke bulan (MoM) dan 8.3% tahun ke tahun (YoY).
Bagaimanapun, kadar kelulusan pinjaman merosot kepada 40.6% berbanding 44.3% setahun lalu, berpunca daripada pendekatan berhati-hati institusi perbankan susulan ketidaktentuan geopolitik global.
"Dalam musim laporan kewangan yang baru berakhir, prestasi pemaju hartanah didapati bercampur-campur dengan pertumbuhan hasil keseluruhan lebih sederhana daripada jangkaan," kata MBSB Research.

IOI Properties Group Berhad ujar firma berkenaan, mencatatkan pertumbuhan keuntungan suku tahunan tertinggi sebanyak 134.7% YoY, didorong oleh faktor pengiktirafan jualan tanah projek di Melaka.
Sementara itu jelasnya, Mah Sing Group Berhad dan Sunway Berhad pula dikenal pasti mampu merekodkan pertumbuhan keuntungan secara sederhana masing-masing mencecah 6.8% dan 5.9%.
Sebaliknya tambah MBSB Research, Matrix Concepts, UOA Development dan SP Setia pula mencatatkan penyusutan keuntungan, sebahagiannya disebabkan oleh isu tekanan margin yang semakin mengecil.
"Kami menjangka prospek hasil pemaju terus berdepan cabaran pada separuh kedua tahun ini apabila kenaikan kos pembinaan dan operasi mula memberi kesan lebih ketara kepada keuntungan," katanya.
Walaupun jualan hartanah sepanjang tempoh suku pertama 2026 didapati agak perlahan berikutan musim perayaan, firma tersebut percaya aktiviti jualan berpotensi pulih dalam suku-suku yang berikutnya.
Bagi sektor tersebut, MBSB Research mengekalkan Mah Sing Group dengan harga sasaran (TP) sesaham iaitu RM1.25, Matrix Concepts (RM1.55) dan IOI Properties Group (RM4.64) sebagai pilihan utama.
Mah Sing terus disokong oleh permintaan kukuh bagi kediaman mampu milik, manakala Matrix Concepts ada pemangkin pertumbuhan melalui pembangunan MVV City serta projek di Sendayan dan Lembah Klang.
"IOI Properties Group pula, strategi penjanaan nilai tanah bukan teras dijangka mengukuhkan pertumbuhan pendapatan serta mengurangkan paras penggearan kumpulan," tambahnya. - DagangNews.com








