KUALA LUMPUR 3 Feb - Persatuan Emas Malaysia (MGA) secara rasmi memperkenalkan Prinsip Industri Emas Malaysia (MGIP) sebagai langkah strategik memperkukuh kawal selia kendiri pasaran tempatan.
Presiden MGA, Datuk Seri Louis Ng berkata, ia dibangunkan melalui kerjasama erat pelbagai pemegang taruh industri dan menjadi asas amalan perniagaan beretika dalam ekosistem logam berharga negara.
Beliau menjelaskan yang inisiatif ini diilhamkan daripada amalan terbaik dunia, termasuk Prinsip Pelaburan Emas Runcit oleh World Gold Council (WGC) bagi meningkatkan kredibiliti emas Malaysia.
"MGIP sangat penting kerana ia membina keyakinan dalam seluruh ekosistem, dengan pengguna menerima jaminan produk adalah asli dan bersumberkan secara bertanggungjawab," katanya pada sidang akhbar.
Terdahulu, beliau melancarkan MGIP yang berasaskan rangka kerja global pada Persidangan Emas Malaysia 2026 (MGC) di sini hari ini yang turut disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif WGC, David Tait.

Tambah Ng, bagi pelabur pula, pelaksanaan MGIP diyakini dapat memperkukuhkan isu tadbir urus dan kepercayaan jangka panjang, dengan penerbitan rasmi dijadualkan pada suku ketiga (Q3) tahun ini.
"MGA menyeru semua pemain industri bersedia bagi pelaksanaannya demi kejayaan bersama, kerana ada banyak faktor dapat menjadikan Malaysia destinasi pelaburan emas yang kompetitif," jelas beliau.
Antaranya, termasuk kadar duti import dan eksport sifar untuk jongkong emas, ketiadaan cukai untuk penggunaan domestik ke atas emas gred pelaburan, serta ekosistem logam berharga yang amat lengkap.
Malaysia kini tambah Ng, berdiri sebagai ekosistem logam berharga untuk Asia, dengan MGA bersedia memimpin dan membentuk masa depan pasaran emas Asia melalui ketelusan serta daya saing yang sihat.

"Kami juga ini menonjolkan keunikan Malaysia sebagai negara pertama di dunia yang dapat menubuhkan Lembaga Penasihat Syariah sebagai institusi khusus untuk industri logam berharga," kata beliau.
Langkah ini jelasnya, bertujuan memperteguhkan kedudukan Malaysia sebagai hab rujukan global bagi rumusan pelaburan emas jenis patuh Syariah termasuk pelaburan, emas digital dan model pembiayaan.
Usaha itu kata Ng, sejajar dengan MGIP yang dirancang melalui libat urus strategik di ibu pejabat MGA pada 3 September 2025 sebagai rangka kerja bersepadu jangka panjang bagi sektor emas Malaysia.
Persidangan MGC 2026 edisi ketiga ini dihadiri oleh lebih 300 delegasi dari 30 negara, menunjukkan pengiktirafan antarabangsa terhadap peranan Malaysia dalam industri emas global. - DagangNews.com








