KUALA LUMPUR 9 Jun - Sarawak berjaya menarik pelaburan diluluskan sebanyak RM4 bilion pada suku pertama 2026, kelima tertinggi di Malaysia, menurut data Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
Dalam kenyataan MIDA berkata, secara keseluruhan, Malaysia merekodkan pelaburan diluluskan berjumlah RM92.8 bilion pada suku tersebut dengan pelaburan asing menyumbang 60.5% atau RM56.2 bilion daripada jumlah keseluruhan berkenaan.
Pelaburan domestik pula meningkat 13.0% tahun ke tahun kepada RM36.6 bilion, mewakili 39.5% daripada jumlah kelulusan pelaburan 1Q26, sekali gus mencerminkan keyakinan yang semakin kukuh dalam kalangan perniagaan tempatan.
Sarawak merupakan antara lima negeri yang mencatatkan pelaburan diluluskan tertinggi di negara ini dengan menduduki tempat kelima selepas Selangor (RM33.5 bilion), Johor (RM16.9 bilion), Kuala Lumpur (RM16.9 bilion) dan Pulau Pinang (RM6.2 bilion).
Negeri itu mencatatkan pelaburan diluluskan tertinggi dalam sektor utama berjumlah RM3.2 bilion, diikuti sektor pembuatan sebanyak RM500 juta dan sektor perkhidmatan RM300 juta.
Pelaburan Diluluskan
Sementara itu jumlah pelaburan yang diluluskan bagi suku pertama tahun ini bagaimanapun mencatatkan penurunan kecil sebanyak 0.2% berbanding RM93 bilion yang direkodkan pada suku pertama 2025.
Pelaburan tersebut melibatkan 1,249 projek merangkumi sektor perkhidmatan, pembuatan dan utama.
Sektor perkhidmatan kekal sebagai penyumbang terbesar dengan nilai pelaburan diluluskan RM60.8 bilion atau 65.5% daripada jumlah keseluruhan, melibatkan 731 projek.
Sektor pembuatan pula berada di kedudukan kedua dengan pelaburan diluluskan berjumlah RM24.1 bilion atau 26% menerusi 501 projek.
Sementara itu, sektor utama merekodkan pelaburan diluluskan sebanyak RM7.9 bilion atau 8.5% melibatkan 17 projek, dipacu terutamanya oleh aktiviti penerokaan dan pembangunan minyak dan gas, khususnya di Sarawak.
Dalam kalangan pelabur asing, Jepun muncul sebagai sumber terbesar pelaburan diluluskan dengan nilai RM21.5 bilion, diikuti Republik Rakyat China dan Amerika Syarikat masing-masing RM10.1 bilion, Singapura (RM6.7 bilion) serta Thailand (RM2.5 bilion).
Kekuatan Ekonomi Negara
Pengerusi MIDA, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, prestasi suku pertama 2026 mencerminkan keupayaan Malaysia yang semakin meningkat dalam menarik pelaburan yang lebih berdaya tahan, berteraskan teknologi dan mampu mewujudkan nilai tambah kepada ekonomi.
“Prestasi pelaburan Malaysia bagi suku pertama 2026 menghantar isyarat yang jelas bahawa asas ekonomi negara kekal kukuh. Pelabur global dan domestik terus meletakkan keyakinan terhadap negara ini.
“Dengan KDNK berkembang 5.4% dan Moody’s mengunjurkan Malaysia sebagai ekonomi bertaraf A yang berkembang paling pantas dalam tempoh dua tahun akan datang, kita membuktikan bahawa Malaysia bukan sekadar mengambil bahagian dalam rantaian nilai serantau, malah sedang muncul sebagai hab strategik bagi industri yang bakal membentuk ASEAN dan Asia dalam dekad akan datang.
“Melalui inisiatif #InvestLokal dan Rangka Kerja Insentif Baharu bagi Sektor Pembuatan yang diperkenalkan pada 1 Mac 2026, kami mengutamakan pelaburan berkualiti dan dipacu teknologi yang dapat memperkukuh penyertaan industri tempatan serta mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi.
“Malaysia kini berada pada kedudukan kukuh di tengah-tengah rantaian nilai global sebagai hab pelaburan yang berdaya tahan dan bersedia menghadapi masa depan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata, prestasi pelaburan negara bagi suku pertama 2026 mencerminkan kekuatan Malaysia dari segi pemudahcaraan pelaburan dan keupayaan pelaksanaan projek.
“Walaupun berdepan cabaran global yang berterusan, Malaysia kekal menjadi pilihan pelabur hasil dasar yang jelas, asas ekonomi yang kukuh serta keupayaan negara menggerakkan projek daripada peringkat kelulusan kepada pelaksanaan operasi.
“Asia Manufacturing Index 2026 meletakkan Malaysia di kedudukan kedua terbaik di Asia selepas China. Ini merupakan kedudukan tertinggi Malaysia dalam indeks tersebut setakat ini dan ia disokong oleh pencapaian sebenar di lapangan.
“Daripada projek pembuatan yang diluluskan sejak 2021, lebih 85% telah mencapai pelbagai peringkat pelaksanaan sehingga Februari 2026.
“Di MIDA, kami kekal komited menyokong pelabur sepanjang perjalanan pelaksanaan projek mereka. Melalui platform pemudahcaraan seperti IMFC serta kerjasama rapat dengan kementerian dan agensi berkaitan, kami terus memperkukuh penyelarasan dan mempercepatkan pelaksanaan projek. Ini merupakan antara tonggak penting dalam meningkatkan daya saing pelaburan Malaysia,” katanya. - DagangNews.com








