KUALA LUMPUR 9 Jun – Zetrix AI Bhd, yang sebelum ini dikenali sebagai MYEG Services Bhd melalui syarikat usaha samanya di Filipina, MYEG Philippines Inc (MYEG PH) memeterai beberapa perjanjian baharu dengan agensi kerajaan negara itu bagi memperluas perkhidmatan pembayaran digital.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Zetrix berkata langkah tersebut mengukuhkan lagi peranan MYEG PH sebagai antara penyedia utama platform e-kerajaan dan pembayaran digital dalam menyokong agenda transformasi digital sektor awam Filipina.
“Lebih banyak perkhidmatan e-kerajaan kini akan ditambah ke dalam platform MYEG PH susulan perjanjian bersama Professional Regulation Commission (PRC), Bureau of the Treasury (BTr) dan Land Bank of the Philippines.
“Kerjasama tersebut bertujuan memperkukuh usaha pendigitalan perkhidmatan kerajaan dan menyediakan rumusan pembayaran yang lebih pantas, mudah dan lancar bagi transaksi berkaitan PRC untuk golongan profesional dan bakal profesional di seluruh Filipina,” katanya.
Dalam masa sama, MYEG PH turut memeterai memorandum perjanjian dengan Philippines Ports Authority (PPA) bagi membolehkan integrasi sistem pembayaran dan kutipan elektronik (EPCS) syarikat itu ke dalam portal e-pembayaran agensi berkenaan.
Melalui integrasi tersebut, lebih 100,000 saluran pembayaran MYEG PH di seluruh negara akan dapat digunakan oleh pemain industri pelabuhan untuk menjelaskan pelbagai bayaran secara dalam talian dengan lebih mudah dan cekap.
Ia termasuk bayaran akreditasi PPA, permit operasi, akreditasi pengangkutan dan pas kenderaan, caj pengendalian kargo dan dermaga, fi terminal penumpang serta lain-lain caj berkaitan perkhidmatan pelabuhan.
Selain itu, MYEG PH turut menandatangani memorandum perjanjian dengan Bureau of Fisheries and Aquatic Resources (BFAR), sekali gus menambah senarai agensi utama kerajaan Filipina yang menggunakan sistem pembayaran digital syarikat itu.
Menurut Zetrix AI, perkembangan berkenaan dijangka memperluas lagi penggunaan platform pembayaran digital MYEG PH merentasi pelbagai sektor kerajaan di Filipina selain meningkatkan jumlah transaksi yang diproses melalui sistemnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MYEG PH, Ann Margaret Saldaña berkata, kerjasama tersebut merupakan satu lagi pencapaian penting dalam misi syarikat untuk mempercepatkan transformasi digital perkhidmatan kerajaan di Filipina.
Beliau berkata, sokongan berterusan daripada pelbagai agensi kerajaan negara itu mencerminkan keyakinan terhadap keupayaan MYEG PH dalam menyediakan penyelesaian pembayaran digital yang cekap, selamat dan mudah diakses rakyat. - DagangNews.com








