PRG beri tempoh 21 hari kepada Premier De Muara jelaskan bayaran tertunggak RM64.24 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PRG beri tempoh 21 hari kepada Premier De Muara jelaskan bayaran tertunggak RM64.24 juta

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 9 Jun - PRG Holdings Bhd menerusi anak syarikat milik penuhnya, Premier Construction (International) Sdn Bhd (PCI), mengemukakan tuntutan statutori terhadap Premier De Muara Sdn Bhd bagi  (PDM) mendapatkan semula bayaran tertunggak berjumlah RM64.24 juta

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, PRG berkata, PCI telah mengeluarkan notis tuntutan di bawah Seksyen 466(1)(a) Akta Syarikat 2016 yang memberi tempoh 21 hari kepada PDM untuk melunaskan jumlah berkenaan, gagal berbuat demikian boleh menyebabkan tindakan penggulungan syarikat diambil.

 

Menurut kumpulan itu, tuntutan tersebut melibatkan baki bayaran bagi kerja-kerja pembinaan yang telah diperakukan siap untuk projek pembangunan kediaman bertingkat tinggi Picasso Residence di Kuala Lumpur.

 

PCI sebelum ini dilantik sebagai kontraktor utama oleh PDM, selaku pemaju projek, untuk melaksanakan kerja pembinaan di atas tanah pegangan pajakan 99 tahun seluas 14,307 meter persegi di Bandar Kuala Lumpur.

 

PRG menjelaskan projek berkenaan telah memperoleh Sijil Siap Praktikal (CPC) pada November 2025 dan kini hanya melibatkan kerja-kerja liabiliti kecacatan yang masih berbaki.

 

"Kumpulan menuntut bayaran RM64.24 juta yang merupakan jumlah tertunggak bagi kerja-kerja yang telah diperakukan siap," katanya tanpa memperincikan pecahan tuntutan tersebut.

 

Dari sudut kewangan, PRG berkata pihaknya telah membuat peruntukan dan akruan sewajarnya berdasarkan anggaran pengurusan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.

 

Sehingga tarikh pengumuman, kumpulan itu telah mengiktiraf kerugian rosot nilai kira-kira RM50.3 juta pada tahun-tahun terdahulu serta tambahan RM13.7 juta bagi tempoh kewangan berakhir 31 Mac 2026.

 

Menurut PRG, penilaian semasa menunjukkan kemungkinan rosot nilai tambahan sekitar RM0.2 juta diperlukan, tertakluk kepada semakan audit dan penilaian lanjut.

 

Bagaimanapun, kumpulan itu tidak menjangkakan sebarang kerugian material tambahan selain kos guaman dan perbelanjaan berkaitan usaha mendapatkan semula hutang tersebut.

 

Pada masa sama, sebarang kejayaan mendapatkan semula jumlah tertunggak itu berpotensi membawa kepada pembalikan rosot nilai yang telah direkodkan sebelum ini, bergantung kepada keperluan piawaian perakaunan yang berkuat kuasa.

 

Tindakan undang-undang tersebut hadir kurang sebulan selepas PRG menamatkan perjanjian penyelesaian yang dimeterai dengan PDM pada 19 Mei 2026. - DagangNews.com