KUALA LUMPUR 9 JUN - Pemegang saham kedua terbesar dalam PRG Holdings Bhd, Datuk Sheah Kok Fah mencadangkan satu resolusi biasa bagi melaksanakan semakan bebas terhadap urus niaga antara anak syarikat PRG, Premier Construction (International) Sdn Bhd (PCI), dan Premier De Muara Sdn Bhd (PDM) pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang dijadualkan berlangsung pada 25 Jun 2026.
Kok Fah yang memiliki pegangan sebanyak 8.14% dalam syarikat tersebut berkata, cadangan semakan bebas ini bukan bersifat peribadi dan tidak bertujuan untuk menyalahkan mana-mana pihak.
"Sebaliknya, ia adalah untuk memastikan PRG ditadbir mengikut piawaian yang sewajarnya bagi sebuah syarikat tersenarai awam yang diamanahkan dengan modal para pemegang saham serta keyakinan pasaran.
"Semakan bebas yang dicadangkan ini bertujuan untuk mendapatkan fakta-fakta yang diperlukan bagi menjawab persoalan tersebut serta memulihkan keyakinan terhadap tadbir urus korporat, ketelusan dan pengurusan modal pemegang saham oleh PRG," katanya dalam kenyataan hari ini.
Artikel berkaitan: PRG beri tempoh 21 hari kepada Premier De Muara jelaskan bayaran tertunggak RM64.24 juta
Menurut Kok Fah antara sebab semakan bebas ini dicadangkan adalah berkaitan isu transaksi pihak berkaitan atau Related Party Transaction (RPT).
"Selain isu RPT tersebut, timbul kebimbangan yang lebih besar yang melibatkan PRG secara keseluruhannya.
"Persoalan yang lebih asas adalah: Adakah manfaat ekonomi yang terhasil daripada projek pembinaan berkenaan sebahagian besarnya dinikmati oleh PDM, manakala beban kewangan, kos pembiayaan, risiko kredit, kerugian kemerosotan nilai serta risiko pemulihan ditanggung oleh PCI, PRG dan akhirnya para pemegang saham minoriti?
"Adakah PCI dan PRG secara efektif berfungsi sebagai jambatan pembiayaan serta penyerap risiko bagi manfaat projek tersebut dan pihak-pihak berkaitan," soalnya.
Cadangan Penyingkiran Pengarah Urusan Kumpulan PRG
Menurut Kok Fah, notis daripadanya pada 28 Mei 2026 untuk menyingkirkan Pengarah Urusan Kumpulan PRG, Andrew Chan Lim-Fai telah ditolak Lembaga Pengarah.
Lembaga Pengarah menyatakan bahawa notis tersebut tidak mematuhi keperluan undang-undang kerana tidak memenuhi tempoh notis minimum 28 hari yang jelas di bawah Seksyen 322, memandangkan AGM dijadualkan berlangsung pada 25 Jun.
"Saya ingin mencabar secara langsung sebarang dakwaan bahawa Andrew Chan tidak mengetahui bahawa PDM dimiliki oleh bapa mentuanya, Datuk Ng Yan Cheng, dan oleh itu tidak mengetahui bahawa transaksi tersebut merupakan RPT yang memerlukan pendedahan.
"Sebagai individu yang mempunyai hubungan dengan Yan Cheng, Andrew Chan mempunyai kepentingan berkaitan dalam PDM — pihak yang membuat pembayaran dalam penyelesaian tersebut — sambil pada masa yang sama berkhidmat sebagai pengarah PCI — pihak yang menerima pembayaran," katanya.
Yan Cheng merupakan pemegang saham terbesar PRG dengan pegangan sebanyak 16.82% atau 82.47 juta saham.
"Saya berharap semakan bebas terhadap urus niaga yang melibatkan PDM dan PCI dapat dilaksanakan," kata Kok Fah. - DagangNews.com








