KUALA LUMPUR 9 Julai - Malaysia kekal optimis, rundingan lanjut berhubung tarif 25% yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) akan membuahkan hasil positif, kata Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.
Beliau yang merupakan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, dalam satu aspek yang positif ialah tarif yang diumumkan itu hanya berkuat kuasa pada 1 Ogos 2025.
“Rundingan akan diteruskan, dan saya telah menghubungi rakan sejawat saya di AS, Wakil Perdagangan AS, Duta Jamieson Lee Greer, pada hari Selasa. Kami akan mengadakan panggilan video pada hari Khamis.
“Pada hari Khamis juga, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, dan saya akan turut hadir,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang akhbar, hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: AS kenakan tarif 25% ke atas Malaysia mulai 1 Ogos, lebih tinggi daripada tarif asal 24%
Beliau berkata, perbincangan bersama pasukan perunding AS telah berlangsung, namun terganggu susulan pengumuman oleh Presiden AS, Donald Trump.
Katanya, masih ada masa untuk kedua-dua pihak — AS dan Malaysia — mencapai hasil yang lebih seimbang dan pragmatik sebelum 1 Ogos ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Isu tarif: Malaysia teruskan proses rundingan dengan AS, cari penyelesaian seimbang - MITI
Ketika ditanya mengenai perkara yang berada di atas garisan merah semasa rundingan, Tengku Zafrul merujuk merujuk kepada dasar perolehan kerajaan, undang-undang digital, dan percukaian digital.
“Kami telah membincangkan hak kami untuk mengenakan cukai digital. Itu adalah salah satu garis merah kami, dan kami menganggapnya sebagai hak kedaulatan negara,” tambah beliau.
Tengku Zafrul turut menolak anggapan tarif 25% itu merupakan satu "kerugian" bagi Malaysia.
“Kami tidak mahu mencapai perjanjian hanya semata-mata untuk ada perjanjian. Jika kita dapat capai satu persetujuan yang seimbang dan memberi manfaat kepada Malaysia dan syarikat-syarikat Malaysia, maka sudah tentu kita akan teruskan.
“Tetapi jika perjanjian itu tidak memberi manfaat kepada Malaysia, maka kita tidak boleh meneruskannya — dan kita mesti bertegas dalam hal itu,” katanya.
Beliau juga menolak spekulasi bahawa tarif 25% itu mempunyai kaitan dengan penglibatan Malaysia dalam BRICS. - DagangNews.com








