KUALA LUMPUR 30 Jun - i-Berhad mempercepatkan peralihannya ke arah ekosistem bandar dipacu kecerdasan buatan (AI) dengan memberi tumpuan kepada peningkatan kecekapan operasi serta mewujudkan peluang pendapatan baharu berasaskan teknologi.
Pemaju hartanah itu berkata, peralihan berkenaan dilaksanakan menerusi penerapan AI dan automasi secara menyeluruh merentasi fungsi teras bandar di i-City.
Menurutnya, i-City kini semakin mengintegrasikan hartanah, infrastruktur digital dan sistem pintar dalam usaha mengubah pembangunan itu menjadi sebuah ekosistem bandar yang dipacu AI.
Susulan pelancaran AI World Experience Centre, I-Bhd terus memperkukuh ekosistem AInya melalui kerjasama dengan Mesiniaga Bhd, TwinMatrix yang berpangkalan di Singapura dan AgiBot dari China.
Kerjasama tersebut bertujuan mengintegrasikan robotik, ejen AI, teknologi kesejahteraan dan sistem bangunan pintar ke dalam satu rangka kerja bandar yang bersatu serta terus berkembang.
"Lembaga pengarah percaya pendekatan ekosistem ini akan mewujudkan peluang pendapatan baharu berasaskan teknologi, di samping mengukuhkan nilai jangka panjang aset hartanah, hospitaliti dan pelaburan kumpulan," katanya dalam satu kenyataan sempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-59 syarikat itu.
Baki pembangunan RM5 bilion pacu pendapatan berulang
Menurut I-Bhd, i-City masih mempunyai baki saluran pembangunan bernilai kira-kira RM5 bilion, yang akan membolehkannya mempelbagaikan sumber pendapatan melangkaui pembangunan hartanah konvensional.
Pengerusi Bukan Eksekutifnya, Tan Sri Lim Kim Hong berkata, kumpulan itu kekal memberi tumpuan kepada pelaksanaan yang berdisiplin dan pengurusan kos yang berhemat sambil terus melabur dalam peluang struktur jangka panjang.
Beliau berkata, masa depan bukan lagi sekadar mengenai rumah pintar, sebaliknya rumah yang memahami keperluan, tingkah laku dan gaya hidup penghuninya.
"Selama lebih dua dekad, kami memberi tumpuan kepada pembinaan destinasi. Hari ini, kami membina persekitaran pintar yang menggabungkan hartanah, teknologi dan pengalaman harian bagi mewujudkan nilai yang berkekalan.
"AI dan robotik bukan perniagaan yang berasingan bagi i-City, sebaliknya ia merupakan lapisan baharu penciptaan nilai yang akan meningkatkan aset sedia ada kami serta mewujudkan peluang pendapatan berulang yang baharu," katanya. - DagangNews.com








