Silver Ridge lantik Vincent Gan sebagai Pengarah Urusan Kumpulan baharu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Silver Ridge lantik Vincent Gan sebagai Pengarah Urusan Kumpulan baharu

Vincent Gan Kean Cheang
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 30 Jun – Silver Ridge Holdings Bhd melantik Pengarah Eksekutifnya, Vincent Gan Kean Cheang sebagai Pengarah Urusan Kumpulan yang baharu berkuat kuasa serta-merta untuk mengisi kekosongan kepimpinan selepas peletakan jawatan Datuk Khoo Yik Chou minggu lalu.

 

Pelantikan itu dibuat hanya empat hari selepas Khoo, bersama Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan Syauqat Mohd Suhaimi dan Pengarah Eksekutif Syakur Mohd Suhaimi melepaskan jawatan masing-masing dalam peralihan kepimpinan yang disifatkan syarikat sebagai sebahagian daripada pelan penggantian.

 

Vincent Gan, 44, sebelum ini dilantik sebagai Pengarah Eksekutif pada Ogos tahun lalu sebelum dinaikkan ke jawatan tertinggi kumpulan itu bagi menerajui fasa baharu operasi syarikat.

 

Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, Gan memegang 14.87 juta saham dalam Silver Ridge, menjadikannya antara pemegang saham individu signifikan dalam syarikat telekomunikasi infrastruktur tersebut.

 

Perubahan kepimpinan itu berlaku ketika saham Silver Ridge mengalami tekanan jualan ketara susulan pengumuman peletakan jawatan tiga pengarah utama berkenaan.

 

Saham syarikat merosot lebih 40% pada Isnin dengan harga sempat jatuh ke paras serendah 10 sen, iaitu terendah dalam tempoh hampir empat tahun.

 

Kejatuhan itu turut menghapuskan kira-kira RM30 juta nilai pasaran syarikat dalam tempoh sehari, dengan sebanyak 74.37 juta saham bertukar tangan.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Isu harga saham jatuh teruk, Silver Ridge sangkal ada kaitan peletakan jawatan tiga pengarah serentak

 

Susulan pergerakan luar biasa tersebut, Bursa Malaysia telah mengeluarkan pertanyaan aktiviti pasaran luar biasa (UMA) bagi mendapatkan penjelasan daripada syarikat.

 

Silver Ridge dalam maklum balasnya kepada Bursa Malaysia menjelaskan pihaknya tidak mengetahui sebarang perkembangan korporat tidak diumumkan atau khabar angin di sebalik kejatuhan harga saham tersebut selain daripada pengumuman perubahan dalam lembaga pengarah.

 

Bagaimanapun, pada sesi dagangan tengah hari Selasa, saham syarikat itu kembali mencatatkan pemulihan apabila meningkat dua sen atau 18.2% kepada 13 sen.

 

Namun, paras tersebut masih jauh lebih rendah berbanding penutupan Khamis lalu pada 28.5 sen sebelum pengumuman peletakan jawatan dibuat.

 

Datuk Khoo Yik Chou, yang merupakan pemegang saham terbesar dengan pegangan langsung sebanyak 17.223% serta kepentingan tidak langsung 2.158%, adalah antara individu yang melepaskan jawatan dalam perubahan kepimpinan tersebut.

 

Dua lagi pengarah yang meletak jawatan turut mempunyai kaitan dengan pemegang saham utama melalui hubungan keluarga, dengan Syauqat dan Syakur masing-masing dianggap sebagai pemegang saham berkaitan melalui bapa mereka, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah yang memegang 6.919% kepentingan.

 

Kesemua pengarah yang meletak jawatan sebelum ini menyatakan tiada sebarang pertikaian dengan lembaga pengarah serta tiada perkara lain yang perlu dibangkitkan kepada pemegang saham.

 

Syarikat kini dijangka memberi tumpuan kepada usaha menstabilkan operasi serta memulihkan keyakinan pelabur selepas turun naik ketara harga saham susulan perubahan kepimpinan tersebut. - DagangNews.com