Ketegangan Selat Hormuz kekalkan harga minyak sawit tinggi, MPOB sasar RM4,000 - RM4,300 satu tan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ketegangan Selat Hormuz kekalkan harga minyak sawit tinggi, MPOB sasar RM4,000 - RM4,300 satu tan

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 30 Jun — Ketegangan geopolitik berlarutan di Selat Hormuz yang mengganggu bekalan petroleum global dijangka terus menyokong harga minyak sawit mentah (MSM) kukuh pada tahun ini.

 

Perkembangan tersebut turut mendorong Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menjangkakan harga minyak sawit mentah (MSM) secara purata kekal stabil antara RM4,000 hingga RM4,300 satu tan.

 

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, harga ketika ini masih berada pada paras yang memberangsangkan dan dijangka terus disokong perkembangan harga minyak mentah dunia.

 

"Ketidaktentuan di Selat Hormuz memberi kesan terhadap bekalan petroleum global, dan meningkatkan harga minyak sayuran termasuk sawit berikutan hubungan rapat antara dua komoditi itu," ujarnya.

 

Beliau berkata pada sidang media selepas Program Pemindahan Teknologi (TOT) Sawit 2026 MPOB di Bangi yang dirasmikan sendiri oleh Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

 

Ahmad Parveez menambah, jika dilihat kepada situasi semasa, harga minyak sawit negara masih kekal kukuh dan bagi tahun ini MPOB menyasarkan harga purata akan berlegar dari RM4,000 hingga RM4,300.

 

minyak sawit mentah_DagangNews2026
Foto kredit DTS Singapore

 

Pada masa sama, beliau berkata, industri sawit turut berdepan cabaran pengeluaran susulan kesan berpanjangan fenomena cuaca El Niño yang menjejaskan proses pendebungaan pokok kelapa sawit.

 

"Suhu amat panas dan taburan hujan rendah mengurangkan aktiviti kumbang pendebunga, menyebabkan kadar pendebungaan menjadi lebih rendah dan menjejaskan hasil pengeluaran minyak sawit," katanya.

 

Tambah Ahmad Parveez, kesan negatif akibat El Niño bukan berlaku secara serta-merta, sebaliknya memberi impak dalam tempoh yang lebih panjang terhadap tahap produktiviti ladang kelapa sawit.

 

Menyentuh mengenai pelaksanaan Peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR), beliau berkata lebih 80% pekebun kecil di Semenanjung Malaysia bersedia memenuhi keperluan peraturan tersebut.

 

Ujarnya, MPOB menyasarkan 95% pekebun kecil yang memiliki lesen sah serta status jelas pemilikan tanah dimasukkan ke dalam sistem pematuhan sebelum pelaksanaan EUDR bermula pertengahan 2027.

 

"Langkah itu penting bagi memastikan minyak sawit yang dihasilkan pekebun kecil Malaysia terus memenuhi syarat eksport ke pasaran Kesatuan Eropah (EU) tanpa ada halangan," kata Ahmad Parveez.

 

Menurutnya, gabungan faktor sokongan harga petroleum global, permintaan berterusan terhadap minyak sayuran serta usaha pematuhan EUDR dijangka terus menyokong daya saing industri sawit Malaysia. - DagangNews.com