KUALA LUMPUR 30 Jun - Niche Capital Emas Holdings Bhd (NICE) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat, StrategicREM LLC, bagi pembelian mineral nadir bumi yang akan dihasilkan daripada projek nadir bumi jenis tanah liat jerapan-ion (IAC-RE) di Sungai Jeli, Kelantan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat berkata kerjasama itu dilaksanakan menerusi anak syarikat milik penuhnya, NICE REE Sdn. Bhd. (NREE), bersama Greensnow Consolidated Bhd. (GCB).
Pada 25 Jun lalu NICE memeterai perjanjian pembangunan bersama (JDA) dengan GCB bagi membangunkan projek penerokaan, pengekstrakan dan pemprosesan nadir bumi di Kelantan.
Sebagai sebahagian daripada terma utama MoU tersebut, StrategicREM akan menyediakan kos permulaan berjumlah AS$10 juta (kira-kira RM47.16 juta) kepada syarikat usaha sama yang akan ditubuhkan bagi membiayai mobilisasi projek, persediaan komersial dan aktiviti pembangunan awal.
Menurut NICE, projek itu melibatkan pembangunan bersepadu merangkumi aktiviti penerokaan, pengekstrakan dan pemprosesan deposit nadir bumi di kawasan seluas 2,000 ekar di Sungai Jeli.
Di bawah cadangan kerjasama itu, StrategicREM akan diberikan hak eksklusif untuk membeli 100% pengeluaran mineral nadir bumi daripada projek berkenaan, tertakluk kepada pemeteraian Perjanjian Offtake Muktamad yang akan dirundingkan kemudian.
Sementara itu, Greensnow Consolidated akan menyumbangkan kepakaran teknikal melalui penggunaan teknologi proprietari Bio-Intelligent Leaching Solvent In-Situ (BILS-ISL), iaitu kaedah larut resap yang dikatakan lebih mesra alam berbanding penggunaan pelarut berasaskan bahan kimia konvensional.
StrategicREM merupakan syarikat berpangkalan di Washington, Amerika Syarikat yang memfokuskan kepada pembangunan rantaian bekalan mineral nadir bumi dan mineral kritikal yang lebih selamat serta pelbagai di luar China.
NICE berkata, kerjasama itu bertujuan meningkatkan daya maju komersial projek melalui jaminan permintaan pasaran sejak peringkat awal pembangunan, sekali gus mengukuhkan keyakinan terhadap potensi pengkomersialan projek tersebut.
Selain itu, komitmen pembiayaan awal sebanyak AS$10 juta dijangka meningkatkan keupayaan syarikat untuk mendapatkan pembiayaan tambahan bagi mempercepatkan pembangunan dan pelaksanaan projek.
MoU berkenaan berkuat kuasa selama setahun dari tarikh pemeteraian dan menjadi asas kepada rundingan lanjut bagi memuktamadkan perjanjian usaha sama serta perjanjian pembelian produk.
Dari segi impak kewangan, syarikat berkata MoU itu tidak dijangka memberi kesan material terhadap modal saham, pegangan pemegang saham utama, pendapatan sesaham (EPS) atau aset bersih (NA) Kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026.
Lembaga Pengarah NICE berpandangan kerjasama strategik itu adalah demi kepentingan terbaik syarikat kerana ia berpotensi memperkukuh pembangunan aset nadir bumi kumpulan, selain membuka akses kepada pasaran antarabangsa menerusi rakan strategik yang mempunyai rangkaian dalam industri mineral kritikal. - DagangNews.com








