Segmen RE dorong pertumbuhan Kawan Renergy, hasil naik 48% pada 2QFY26 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Segmen RE dorong pertumbuhan Kawan Renergy, hasil naik 48% pada 2QFY26

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 30 Jun – Kawan Renergy Berhad mencatatkan peningkatan hasil yang kukuh bagi suku kedua tahun kewangan 2026 (2Q26) apabila pendapatan kumpulan melonjak 48% kepada RM45.9 juta, disokong oleh prestasi lebih baik dalam segmen tenaga boleh diperbaharui dan loji janakuasa.

 

Pertumbuhan itu didorong oleh pengiktirafan hasil yang lebih tinggi daripada projek loji janakuasa di Sipitang, Sabah serta Klang, Selangor, yang menjadi penyumbang utama kepada pendapatan kumpulan dalam tempoh berkenaan.

 

Dari segi pecahan segmen, Kumpulan itu berkata segmen peralatan dan loji proses industri merekodkan RM19.5 juta berikutan pelaksanaan projek yang sedang berjalan manakala segmen tenaga boleh diperbaharui dan penjanaan bersama menyumbang RM25.5 juta hasil daripada pengiktirafan lebih tinggi projek loji janakuasa.

 

“Walaupun hasil meningkat dengan ketara, keuntungan kumpulan terjejas apabila margin kasar mengecil kepada 5.5% berbanding 24.3% pada tempoh sama tahun sebelumnya.

 

“Keuntungan kasar turut susut kepada RM2.5 juta, dipengaruhi oleh peningkatan kos operasi termasuk kos buruh, subkontraktor dan logistik dalam persekitaran kos industri kejuruteraan dan pembinaan yang mencabar,” katanya.

 

Syarikat menjelaskan sebahagian tekanan kos berpunca daripada kerja-kerja tambahan di luar skop asal bagi projek loji janakuasa di Sabah selain keperluan penggunaan sumber tambahan bagi mengurus kelewatan projek dan memastikan jadual siap dapat dipatuhi.

 

t

 

Selain itu, peningkatan kos tenaga global akibat ketegangan geopolitik di Timur Tengah sejak Februari 2026 turut memberi kesan kepada struktur kos kumpulan, khususnya melalui kenaikan harga minyak, bahan api dan rantaian bekalan.

 

“Akibat tekanan kos tersebut, keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATMI) kumpulan susut kepada RM0.7 juta, walaupun operasi teras terus mencatat pertumbuhan hasil.

 

“Dari sudut kedudukan kewangan, Kawan Renergy kekal stabil dengan kedudukan tunai bersih sebanyak RM18.3 juta setakat 30 April 2026, mencerminkan asas kewangan yang kukuh walaupun dalam persekitaran kos mencabar.

 

“Kumpulan turut merekodkan peningkatan aset dan liabiliti kontrak berikutan kerja-kerja projek yang dilaksanakan lebih awal berbanding jadual pengebilan sekali gus meningkatkan keperluan modal kerja jangka pendek,” katanya.

 

Tiada perbelanjaan modal besar, aktiviti pengambilalihan atau pelupusan ketara dilakukan sepanjang suku tersebut dan tiada dividen diumumkan bagi tempoh berkenaan.

 

Bagi prospek, pengurusan menyatakan kumpulan beroperasi dalam persekitaran kos yang masih mencabar namun kekal fokus terhadap pelaksanaan projek sedia ada serta pengurusan kos secara lebih berdisiplin.

 

Mereka turut menjangkakan tekanan kos berpotensi reda susulan penurunan harga minyak global, walaupun kesannya hanya akan dirasai secara berperingkat dalam rantaian bekalan industri.

 

Dalam masa sama, kumpulan optimis terhadap prospek pertumbuhan disokong oleh buku tempahan yang meningkat kepada RM128.3 juta berbanding RM86.8 juta pada suku sebelumnya, serta buku tender sebanyak RM103 juta yang menyokong keterlihatan pendapatan masa hadapan. - DagangNews.com